Orang Asli di Lojing tidak benar masyarakat luar masuk kampung

Estimate Reading Time: < 1 minute

GUA MUSANG, 13 Nov — Dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19, lebih 10,000 masyarakat Orang Asli yang mendiami 18 buah kampung di Jajahan Kecil Lojing di sini memutuskan untuk tidak membenarkan masyarakat luar memasuki perkampungan mereka.

-Advertisement-

Ketua Majlis Tok Batin dan Penghulu Orang Asli Lojing Bidi Ronggeng berkata seramai enam ketua masyarakat Orang Ali Suku Temiar yang mewakili kesemua kampung berkenaan mengambil kata sepakat itu baru-baru ini.

“Kami hanya benarkan pihak berkuasa seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Kesihatan dan Polis sahaja. Mana-mana pihak luar yang mahu masuk perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa ini terlebih dahulu.

“Sehubungan itu, mana-mana pekerja asing yang cuba untuk berlindung atau menjual barangan di kampung kami sama sekali tidak dibenarkan,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri di Semenanjung kecuali di Kelantan, Pahang dan Perlis.

-Advertisement-

Katanya, ada beberapa orang luar cuba memasuki perkampungan itu telah diminta beredar kerana tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa selain tidak mempunyai alasan munasabah.

“Jika mahu menghantar bekalan makanan perlulah melalui pihak berkuasa, namun begitu janganlah dari zon merah. Kami masyarakat Orang Asli khuatir dengan penyakit berbahaya ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Pos Brooke Kamal Rami berkata masyarakat luar perlu memahami sensitiviti masyarakat Orang Asli dan tidak mengunjungi perkampungan mereka buat masa ini.

Katanya, masyarakat Orang Asli sudah memahami mengenai bagaimana wabak COVID-19 boleh menjangkiti dan disebabkan itu penduduk bersepakat dengan keputusan yang dibuat.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati sebahagian besar penduduk di semua perkampungan Orang Asli di Lojing berada di dalam rumah dan enggan bertemu orang luar, serta hanya mematuhi arahan daripada Tok Batin atau penghulu sahaja.

— BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share