PKPD: Penduduk Medan 88 ketakutan, bukan lari – KPD Sepang

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, bukan melarikan diri, sebaliknya ketakutan apabila kawasan perumahan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa Rabu lalu.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata, ramai penduduk dari kawasan berkenaan berada di tempat kerja pada waktu siang dan tidak mengetahui apa yang berlaku di kawasan kediaman mereka.

Beliau berkata, mereka pulang daripada kerja dan melihat tentera memasang kawat berduri, manakala polis mengepung bangunan, menyebabkan mereka takut untuk masuk ke kawasan berkenaan.

“Tidak ada individu yang melarikan diri kerana kawasan mereka dikepung disebabkan PKPD seperti mana laporan berita sebelum ini.

-Advertisement-

“Terdapat antara 700 hingga 800 penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan dan lebih kurang 400 masih belum membuat saringan COVID-19,” katanya kepada BERNAMA hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, usaha bagi mengesan saki-baki penghuni yang masih tidak pulang sedang dijalankan dengan kerjasama penduduk dan jiran di kawasan itu.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, polis sedang mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88 yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas kawasan itu diumum dikenakan PKPD.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share