Warga asing tidak dibenar berniaga, jualan hanya secara ‘take away’, kata DBKL

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan larangan penglibatan warga asing sebagai syarat untuk membenarkan warga kota berniaga secara kecil-kecilan seperti diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa baru-baru ini.

-Advertisement-

DBKL dalam kenyataan berkata, kebenaran berniaga secara kecil-kecilan di mana-mana sahaja dalam Wilayah Persekutuan selama 5 bulan bermula 15 Nov ini hanya untuk warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.

“Pemohon harus membuat permohonan secara dalam talian di https://elesen.dbkl.gov.my atau menghantar borang yang lengkap diisi berserta dokumen sokongan yang diperlukan. Permohonan dibuka mulai 15 Nov hingga 31 Mac tahun depan.

“Keutamaan adalah kepada pemastautin di Kuala Lumpur dan jualan dibuat secara bungkus sahaja. Pelesen hendaklah sentiasa berada di tapak dan perlu mengambil suntikan typhoid bagi jualan makanan atau minuman,” katanya.

Selain makanan dan minuman, antara aktiviti perniagaan lain yang dibenarkan adalah jualan barangan kering, buah-buahan dan barangan mentah atau basah.

DBKL turut mengarahkan sisa sampah tidak ditinggalkan di tapak perniagaan.

“Jenis aktiviti perniagaan yang tidak dibenarkan pula adalah barangan kawalan seperti tembakau, bahan letupan, vape, alkohol dan lain-lain yang menyalahi undang-undang.

-Advertisement-

“Bukan itu sahaja perkhidmatan dan sewaan seperti “kiddy ride”, urutan, judi, gunting rambut, basikal dan sebagainya juga tidak dibenarkan,” katanya.

DBKL berkata, waktu perniagaan yang ditetapkan pula adalah antara jam 7 pagi hingga 11 pagi bagi sesi pagi, jam 3 petang hingga 7 petang bagi sesi petang dan 7 petang hingga 10 malam bagi sesi malam.

Menurutnya lagi, kebenaran dan semua aktiviti perniagaan adalah tertakluk kepada arahan semasa kerajaan.

Dalam pada itu katanya, pemohon boleh memilih waktu-waktu perniagaan yang ditetapkan, tetapi tertakluk kepada kelulusan DBK.

“Peniaga tidak dibenarkan membina sebarang struktur semi kekal atau kekal. Tidak dibenarkan meletakkan kerusi atau meja untuk pelanggan.

“Peniaga hendaklah menyediakan tong sampah tertutup, namun tidak dibenarkan mencuci peralatan di tapak perniagaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, peniaga perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pemegang lesen adalah tertakluk kepada UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

-FMT

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares