Kebanyakan organisasi di Malaysia dapati inovasi menjadi lebih mudah selepas COVID-19 – Kajian

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 16 Nov — Lebih banyak organisasi di Malaysia kini mendapati inovasi menjadi lebih mudah sejak penularan COVID-19, demikian menurut kajian baharu yang dijalankan oleh Microsoft dan International Data Corporation (IDC) Asia Pacific.

-Advertisement-

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K. Raman berkata berdasarkan kepada penyelidikan, 65 peratus daripada organisasi di dalam negara mendapati inovasi lebih mudah, dan ini merupakan kenaikan mendadak berbanding hanya 24 peratus sebelum COVID-19.

“Ini kerana semasa penularan pandemik, organisasi terpaksa mempercepatkan inovasi dan dengan berbuat demikian, mereka mendapati ianya tidak sesukar seperti yang dijangkakan.

“Berbekalkan keyakinan baharu ini, firma di Malaysia telah menerapkan budaya inovasi dengan lebih rancak untuk menjamin kesinambungan dan kemampanan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain daripada itu, kira-kira 77 peratus daripada penggubal keputusan yang dikaji selidik di Malaysia menyatakan inovasi adalah satu ‘kewajipan’ untuk mereka bertindak balas secara pantas kepada cabaran dan peluang pasaran, terutama ketika negara perlu menyesuaikan dengan keadaan dan membangunkan daya tahan dalam menghadapi ketidakpastian.

Kajian terkini itu bertajuk “Budaya Inovasi: Asas bagi membina daya tahan perniagaan dan memulihkan ekonomi di Asia Pasifik”, meninjau selidik 223 pemimpin industri di Malaysia dalam tempoh enam bulan, sebelum dan sejak COVID-19.

Kajian di Malaysia ini adalah sebahagian daripada tinjau selidik secara meluas dalam kalangan 3,312 pemimpin perniagaan dan 3,495 pekerja di 15 pasaran di Asia Pasifik yang dikendalikan dalam tempoh yang sama, untuk menentukan bagaimana organisasi boleh meningkatkan daya tahan dan prestasi perniagaan menerusi inovasi.

Ia turut mendedahkan hampir lapan dalam 10 organisasi Malaysia (77 peratus) giat mempercepatkan proses pendigitalan dalam pelbagai cara untuk disesuaikan dengan realiti baharu, yang termasuklah melancarkan produk digital, pembayaran digital serta inisiatif e-dagang dan automasi.

-Advertisement-

Di samping itu, hampir 28 peratus daripada organisasi Malaysia percaya model perniagaan semasa tidak akan kekal kompetitif dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kenyataan itu turut menyebut salah satu organisasi yang mengutamakan inovasi ialah Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Ia memetik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai berkata gergasi utiliti itu komited untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan menerusi inovasi dalam penyelesaiannya yang diperluas menjangkaui bekalan elektrik.

Beliau berkata di kemuncak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kira-kira 75 peratus kakitangan TNB bekerja dari rumah walaupun dengan pemberitahuan singkat dan TNB terus memastikan bekalan elektrik kekal disalurkan kepada 9.25 juta pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia, terutamanya bagi tempat-tempat yang paling memerlukan seperti hospital dan klinik.

“Kami menggalakkan pelanggan untuk menggunakan aplikasi myTNB, yang sudah tersedia dalam apa jua keadaan terutama ketika pelanggan tidak boleh mengunjungi Kedai Tenaga bagi menguruskan akaun elektrik mereka.

“Ini adalah sejajar dengan aspirasi kami untuk memupuk budaya inovasi dalam kalangan 36,000 kakitangan kami, yang memberi tumpuan untuk merealisasikan matlamat TNB menjadi pembekal penyelesaian tenaga mampan yang terulung di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd Datuk Azman Ismail pula berkata PLUS, pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia memulakan perjalanan transformasi digital bersama Microsoft sejak 2019 dengan menyepadukan sistem awan Microsoft Azure ke dalam rangkaian tol lebuh raya kendaliannya.

Beliau berkata pada tahun 2020 sahaja, PLUS telah melaksanakan sebanyak 58 inisiatif digital menggunakan Office 365.

PLUS juga merupakan syarikat pertama di Malaysia memanfaatkan teknologi sedia untuk masa hadapan seperti kecerdasan buatan, analitik data besar dan perkomputeran awan untuk merombak dan memodenkan pengalaman penggunaan lebuh raya Malaysia. -BERNAMA

Share this Article
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    3
    Shares