Kembalikan Akta Antiberita Tidak Benar tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk mengembalikan semula Akta Antiberita Tidak Benar yang dimansuhkan sebelum ini, bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

-Advertisement-

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang akan diajukan Shahidan Kassim (BN-Arau) kepada menteri komunikasi dan multimedia berhubung akta tersebut serta mekanisme dilakukan kementerian bagi membendung masalah penyebaran berita palsu, terutama berkaitan pandemik Covid-19.

Selain itu, Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) akan mengajukan soalan kepada menteri pengajian tinggi mengenai status semasa rasionalisasi pejabat-pejabat Education Malaysia di luar negara, manakala Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bertanya kepada menteri kanan pendidikan mengenai pelaksanaan pendidikan dalam talian semasa wabak Covid-19 dan keberkesanannya.

Selepas sesi itu, menteri kewangan akan mengemukakan Rang Undang-undang Kewangan 2020 untuk bacaan kali pertama.

-Advertisement-

Perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 kemudian akan mengambil tempat untuk hari ke-5.

Sidang Dewan bermula minggu ini akan berlangsung selama 4 jam sehari iaitu mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan bebas – dibenarkan berada dalam dewan pada satu-satu masa.

Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covid-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari hingga 15 Disember. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share