Belanjawan 2021 pertingkat jaminan keselamatan makanan ketika hadapi COVID-19

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR, 17 Nov — Potensi ketidakupayaan jaminan keselamatan makanan dalam mengharungi gelombang ketiga pandemik COVID-19 menyebabkan banyak negara terutama negara membangun sedang berusaha menggembleng tenaga dalam usaha mengoptimumkan sumber semula jadi.

-Advertisement-

Ini bagi memastikan sektor pertanian kekal berfungsi seperti biasa dalam membekalkan makanan berkualiti yang mencukupi dengan harga berpatutan serta pengguna dapat mengakses bekalan mentah di saat kawalan pergerakan dan kehilangan sumber pendapatan.

Kandungan Belanjawan 2021 yang dibentangkan ketika gelombang ketiga pandemik sedang memuncak dilihat bertepatan pada masanya apabila rakyat menantikan insentif penting dalam merencanakan kepentingan semasa terutama bagi memastikan industri pertanian dan keselamatan makanan dijamin kelangsungannya.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Saiful Irwan Zubairi berkata berikutan pandemik yang tiada penghujungnya, isu keselamatan makanan dilihat memberi kesan berantai kepada negara.

“Risiko utama tahap keselamatan makanan pada sesuatu negara khususnya Malaysia sepanjang krisis pandemik adalah gangguan rantaian bekalan makanan domestik.

“Walaupun harga makanan dilihat kekal stabil namun, kesan berantai ini telah mulai kelihatan seperti inflasi harga bahan mentah di sepanjang pembekalan makanan kepada pengguna, gangguan pembekalan dan operasi pengangkutan serta penurunan kadar tukaran mata wang semasa,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata terdapat ramalan seperti yang dinyatakan dalam Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menjangkakan 265 juta penduduk dunia bakal berhadapan dengan risiko ketidakstabilan jaminan makanan pada penghujung 2020 disebabkan kehilangan sumber pendapatan.

Namun, ramalan risiko itu dilihat sederhana di negara ini terutama dengan kerancakan pelbagai pemberian insentif Belanjawan 2021 antaranya pembiayaan kredit mikro melalui Tekun, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM1.2 bilion dalam membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas sumber pendapatan.

-Advertisement-

“Peruntukan RM1.4 bilion bagi Skim Pembangunan Nasional dan Bank Pembangunan Nasional untuk menyokong pelaksanaan rantaian pembekalan domestik dan meningkatkan penghasilan produk tempatan adalah langkah tepat dalam menyerap kembali kos peningkatan harga yang mendadak atau menampung kembali kos operasi pekilang akibat penurunan permintaan sepanjang tempoh pandemik yang tidak menentu ini,” katanya.

Beliau berkata peruntukan RM30 juta untuk e-rebat RM200 bagi pembelian unit penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga bagi operasi pengilangan dan penyimpanan bahan mentah juga dilihat penting untuk manfaat khususnya peladang kecil dan sederhana dalam memastikan pengekalan pembekalan dan keberadaan sumber bahan mentah pertanian yang segar dan bebas kerosakan.

“Selain itu, peruntukan RM1.5 bilion bagi pelanjutan subsidi upah dalam membantu 70,000 majikan dan 900,000 pekerja dalam sektor peladangan dan pertanian amatlah bertepatan dalam mengimbangi kembali aliran tenaga kerja dan pembekalan hasil pertanian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Normaz Wan Ismail berkata terdapat dua dimensi utama dalam keselamatan makanan yang diberi perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lepas.

Ia melibatkan keupayaan membeli makanan dengan pemberian pelbagai insentif dalam bentuk wang tunai mahupun insentif lain bagi membolehkan isi rumah menggunakan wang dan pendapatan untuk membeli makanan yang mencukupi selain peruntukan agihan kewangan yang tinggi kepada sektor pertanian dan makanan bagi memastikan rantaian makanan tidak terputus dan terjamin.

“RM3.8 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang daripada jumlah itu, RM1.72 bilion diberikan dalam bentuk subsidi, insentif dan bantuan lain kepada petani dan nelayan. Bantuan ini akan dapat memberi manfaat dalam meningkatkan keupayaan pengeluaran produk pertanian,” katanya.

Katanya, aspek utama dalam usaha meningkatkan pengeluaran pertanian dan industri makanan adalah modal serta pasaran dan Belanjawan 2021 dilihat sangat inklusif dengan pelbagai insentif berbentuk pinjaman, geran dan latihan kepada mereka yang mahu mengembangkan perniagaan ataupun mahu memulakan perniagaan baharu.

“Kita perlu mengambil peluang krisis COVID-19 ini untuk meningkatkan pengeluaran dalaman terutama sekali daripada sektor pertanian dan makanan asas. Ini secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan dan memastikan kelestarian jaminan makanan,” katanya. -BERNAMA

Share this Article
  • 4
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    4
    Shares