Zoo Negara kembali alami krisis kewangan, tabung kecemasan bertahan 3 bulan sahaja

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Zoo Negara kembali berdepan krisis kewangan yang teruk susulan gelombang ke-3 Covid-19 di negara ini yang menyaksikan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), dengan tabung kecemasan hanya mampu bertahan kira-kira 3 bulan sahaja lagi.

-Advertisement-

Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara Dr Mat Naim Ramli berkata penutupan operasi susulan PKPB menyebabkan pihaknya mengalami kemerosotan pendapatan, sekali gus menyukarkan usaha menampung kos operasi yang secara purata mencecah RM1 juta sebulan.

Kos bulanan itu meliputi pembayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air sebanyak RM40,000, katanya ketika dihubungi Bernama.

Mat Naim menjelaskan Zoo Negara yang diuruskan Malaysian Zoological Society, pada awalnya sudah mula menunjukkan momentum pendapatan yang agak memuaskan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada Jun lalu.

“Pada Jun, Zoo Negara merekodkan pendapatan sebanyak RM450,000, Julai (RM1 juta), Ogos (RM1.3 juta) dan September sebanyak RM850,000. Namun pada Oktober lepas kita hanya memperoleh RM150,000,” katanya.

Baru-baru ini pendakwah dan aktivis sosial Ebit Lew menarik perhatian netizen apabila menghulurkan sumbangan makanan 200 kilogram daging lembu dan 500 kilogram buah-buahan serta sayur-sayuran kepada haiwan di Zoo Negara selepas dimaklumkan masalah kekurangan dana yang dihadapi pihak zoo.

-Advertisement-

Pada fasa awal pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), sumbangan daripada pelbagai lapisan rakyat termasuk melalui kempen Adopt an Animal telah membantu menampung perbelanjaan dan pengurusan kira-kira 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan yang menghuni kawasan seluas 110 hektar itu.

Berhubung kenyataan sesetengah pihak yang mempersoalkan tentang dana RM1.3 juta yang disalurkan kerajaan pada April lepas, Mat Naim berkata dana tersebut hanya mampu menampung kos operasi selama sebulan.

Jelasnya sebahagian dana berkenaan iaitu sebanyak RM689,000 telah digunakan bagi membayar premium insurans tahunan panda di zoo berkenaan, dan selebihnya digunakan untuk skop operasi kebajikan haiwan seperti makanan, perubatan dan pencegahan penyakit.

Beliau berkata ketika gelombang pertama Covid-19 yang lepas, kerajaan telah membantu Zoo Negara dan zoo-zoo lain di seluruh negara bagi meneruskan operasi mereka berikutan ketiadaan pengunjung akibat pelaksanaan PKP.

“Cuma sejak PKPB bermula 14 Okt lepas belum ada lagi bantuan yang diterima. Mungkin kerajaan dalam perancangan berdasarkan kaedah bersesuaian akan terus membantu pengurusan zoo di Malaysia yang amat terkesan dengan penutupan operasi secara berterusan ini memandangkan kos yang perlu ditanggung adalah tinggi,” katanya.

Mat Naim berkata mereka amat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membantu Zoo Negara dan mereka yang berhasrat berbuat demikian boleh melayari https://www.zoonegaramalaysia.my/adopt.html untuk maklumat lanjut. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share