Lebih 512,000 PKS mikro mohon geran Prihatin ke-2, kata Tengku Zafrul

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Lebih 512,000 permohonan Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) diterima daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro, sekali gus mengatasi sasaran awal sebanyak 200,000, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

-Advertisement-

Menurutnya, permohonan GKP 2.0 yang diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dibuka pada 1-31 Okt 2020 lepas.

Beliau berkata, permohonan terbabit turut diteliti secara semak silang atau disahkan oleh data agensi ditetapkan kerajaan, termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan hanya PKS mikro yang benar-benar layak mendapat bantuan tersebut demi kelangsungan perniagaan mereka.

“PKS mikro yang memohon GKP 2.0 ini boleh menyemak status kelulusan mulai 27 Nov, 2020, manakala tarikh pembayaran pula dijangka mulai 30 Nov, 2020,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah permohonan dan kelulusan GKP 2.0 serta alasan permohonan yang tidak berjaya.

-Advertisement-

Zafrul berkata, antara sebab permohonan tidak diluluskan adalah PKS mikro terbabit tidak memenuhi syarat seperti tiada lesen PBT atau berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Selain itu, terdapat PKS mikro yang mempunyai bilangan pekerja melebihi 5 orang.

“Kerajaan amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh PKS secara amnya, termasuk PKS mikro.

“GKP 2.0 ini merupakan komitmen berterusan kerajaan untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi negara,” katanya.

GKP 2.0 merupakan bantuan kewangan secara sekali gus berjumlah RM3,000 kepada PKS mikro yang layak dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan wabak Covid-19.

Di bawah GKP asal sebelum ini, lebih 545,000 peniaga mikro seluruh negara mendapat manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan mencecah RM1.63 bilion. -FMT

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares