PEMAS harap Belanjawan Johor bantu pekerja Malaysia hilang pekerjaan di Singapura

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU, 19 Nov — Persatuan Pekerja Malaysia-Singapura (PEMAS) Negeri Johor berharap agar Belanjawan Johor 2021, memberi keutamaan kepada pekerja Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura, berikutan pandemik COVID-19.

-Advertisement-

Pengerusinya S.Dayalan berkata, ini kerana dianggarkan seramai 300,000 pekerja Malaysia di Singapura telah ‘terkandas’ di negeri ini sejak Mac lepas, akibat tidak dapat berulang alik ke republik itu untuk bekerja.

“Saya harap kerajaan negeri Johor akan memberi satu pakej keutamaan kepada mereka yang telah kehilangan kerja, dan kepada mereka yang ingin membuka perniagaan sendiri, iaitu mungkin dengan memberikan mereka geran perniagaan.

“Malah cadangan ini telah saya kemukakan kepada Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad dua bulan lalu, tetapi mungkin ketika itu tidak ada peruntukan. Tetapi sekarang disebabkan belanjawan semakin hampir, saya rasa mereka perlu bantu rakyat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan pihaknya terhadap Belanjawan Johor 2021.

Dayalan juga berpendapat, bagi menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat yang terjejas ketika ini, kerajaan negeri juga perlu mempertimbangkan untuk memotong 15 peratus gaji Menteri Besar, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Anggota Dewan Undangan Negeri.

“Lagi bagus sekiranya kita dapat bantu 100 keluarga ketika ini daripada dapat gaji yang tinggi.

“Mungkin kerajaan negeri juga boleh buka Tabung Pandemik COVID-19, supaya orang ramai boleh menyumbang untuk bantu mereka yang terkesan terutama yang hilang kerja, di mana Menteri Besar, Exco serta ADUN boleh beri 15 peratus gaji mereka. Jadi duit ini boleh tolong lebih ramai orang,” katanya. -BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share