Penyertaan inisiatif Covax, Projek Demonstrasi 5G dibangkit Dewan Rakyat hari ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia dalam Covax, satu inisiatif antarabangsa yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan akses vaksin Covid-19 yang adil dan berkesan di seluruh dunia, merupakan antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

-Advertisement-

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, yang akan diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, berkenaan kos penyertaan dan peranan yang perlu dimainkan oleh negara.

Selain itu, Natrah Ismail (PH-Sekijang) dalam sesi soal jawab lisan bertanya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai keberhasilan Projek Demonstrasi 5G yang telah dijalankan, serta kesediaan kementerian dalam memperluas rangkaian 5G ke seluruh negara.

-Advertisement-

Usai sesi itu, perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021, akan diteruskan untuk hari yang ke-8.

Sidang Dewan akan berlangsung selama 4 jam sehari iaitu mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas – yang dibenarkan berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga, berikutan penularan wabak Covid-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Dis. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share