Sarawak rancang wujudkan syarikat telekomunikasi sendiri dalam tempoh dua tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING, 20 Nov — Kerajaan Sarawak kini merancang untuk mewujudkan syarikat telekomunikasi sendiri dalam tempoh dua tahun akan datang bertujuan mempercepatkan kesambungan Internet di kawasan luar bandar, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

-Advertisement-

Beliau berkata keputusan bagi menubuhkan syarikat telekomunikasi sendiri itu dibuat pada Rabu lepas bagi menyelesaikan masalah keengganan kalangan syarikat telekomunikasi sedia ada untuk memperluaskan perkhidmatan Internet mereka ke kawasan luar bandar Sarawak, yang mereka anggap tidak menguntungkan.

“Jadi, jalan keluar adalah kerajaan (Sarawak) perlu ada telco (syarikat telekomunikasi) sendiri dan kita akan memberi subsidi kepada telco kita supaya tarif penggunaannya (perkhidmatan) rendah,” katanya dalam program ‘Diskusi Pasca-Bajet 2021 bersama Abg Jo’ yang disiarkan saluran televisyen, TV Sarawak malam tadi.

-Advertisement-

Beliau berkata menerusi gabungan usaha antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), sejumlah 1,246 menara komunikasi telah dirancang untuk dibangunkan di seluruh negeri menjelang 2023.

“(Jumlah lebih) 1,200 (menara itu) mungkin mencukupi tetapi (masalahnya) operator (syarikat telekomunikasi) yang kita kehendaki itu (enggan) untuk menggunakannya,” katanya.

Dalam program itu, Abang Johari juga menjelaskan beliau telah meluluskan RM150 juta pada Rabu lepas untuk memulakan projek perluasan liputan wifi mengikut sistem zon di negeri ini.

“Kalau (sistem) ini sudah ada, bermakna kesambungan Internet dapat dilebarkan,” katanya. -BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share