Wanita Melbourne rekrut kru penerbangan Malaysia jadi keldai dadah dipenjarakan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Seorang wanita Melbourne yang mengendalikan sindiket heroin antarabangsa, termasuk menggunakan kru syarikat penerbangan Malaysia sebagai keldai dadah, dipenjarakan sehingga 18 tahun.

-Advertisement-

Michelle Ngoc Tran, 49, yang merujuk dirinya sebagai “Ratu Richmond”, dijatuhkan hukuman itu oleh Mahkamah Daerah di Melbourne. Dia ialah seorang daripada 7 pemain utama dalam sindiket itu.

Flinders News memetik Australian Associated Press melaporkan, Tran menggunakan kru penerbangan Malaysia untuk mengimport “tiket” heroin” yang disembunyikan dalam seluar dalam mereka.

Mereka dibayar wang tunai, sebelum kembali ke Malaysia kurang 10 jam kemudian.

Menurut laporan itu, Tran membayar A$155,000 bagi setiap “tiket” heroin, seberat kira-kira 1kg dan kemudian menjual dadah itu secara borong pada harga $195,000 seunit.

-Advertisement-

Dia bercakap gah yang heroin itu, 70% hingga 80% tulen, ialah “ketulenan tertinggi yang boleh didapati di Australia”.

Mahkamah itu diberitahu Tran, yang ditahan tahun lalu, berurusan dengan seorang pembekal di Malaysia yang dikenali sebagai “Encik Hanoi”. Dua rakan subahatnya diberi julukan “Pengurus” dan “Johnny”.

“Encik Hanoi”, menurut laporan itu, akan memaklumkan Tran apabila heroin itu hampir tiba dengan penerbangan dari Malaysia ke Australia.

Tran memberitahu mahkamah, dia menjual dadah itu untuk membayar hutang judi, tetapi Hakim Michael Cahill berkata, keuntungan ialah motivasi utamanya.

“Kesalahan anda sangat serius dan kebersalahan anda sangat tinggi,” katanya kepada wanita itu.

Menurut laporan itu, Tran yang mengaku bersalah mengimport dan mengedar heroin dalam kuantiti komersial, akan dipenjara selama 13 tahun tanpa parol. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share