69 mangsa banjir kilat di JB dibenar pulang

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU, 23 Nov — Seramai 69 penduduk di Kampung Laut Batu 10, Skudai dan Kampung Pasir, Tampoi, di sini, yang dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir kilat semalam, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing menjelang tengah hari tadi.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pasir, Tampoi, yang menempatkan 31 orang daripada sembilan keluarga ditutup sepenuhnya pada 11.30 pagi.

Katanya, 38 mangsa daripada sembilan keluarga di Kampung Laut Batu 10 yang ditempatkan di PPS SK Batu 10, Skudai turut dibenarkan pulang.

-Advertisement-

“Bagaimanapun, PPS itu tidak ditutup sepenuhnya dan diletakkan dalam langkah berjaga-jaga sekiranya hujan lebat dan banjir berulang petang nanti,” katanya.

PPS SK Batu 10 Skudai mula dibuka mulai 6.18 petang semalam manakala PPS SK Kampung Pasir dibuka pada 8 malam tadi.

Menurut Vidyananthan, keseluruhan agensi termasuk Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sentiasa memantau keadaan banjir di negeri berkenaan dari semasa ke semasa. — BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share