Belanjawan 2021 penting untuk kelancaran sistem pendidikan negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Belanjawan 2021 penting buat sektor pendidikan agar segala perancangan dan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tahun hadapan, tidak terjejas.

-Advertisement-

Dalam belanjawan kali ini, sektor pendidikan terus menerima peruntukan terbesar iaitu RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan yang merangkumi aspek kesihatan pelajar di sekolah, baik pulih infrastruktur, kemudahan pembelajaran serta pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pendidikan khas.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, ia akan mengganggu kelancaran dan momentum perjalanan sistem pendidikan negara.

“Kita khuatir segala proses terutama dalam menambah baik dan menyelenggara sekolah seperti yang dirancang tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual. Bukan itu sahaja, ia juga akan menjejaskan keluarga berpendapatan bawah 40 (B40), contohnya menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang membabitkan ramai murid dan pelajar daripada golongan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Turut senada, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan yang berpendapat penolakan terhadap belanjawan tersebut akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Ini kerana, katanya, Belanjawan 2021 antaranya menumpukan untuk meningkatkan akses talian Internet melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang bertujuan memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 sekolah di seluruh negara dan Jaringan Prihatin yang menelan belanja RM1.5 bilion yang akan memanfaatkan lapan juta golongan B40.

“Bantuan ini akan mengurangkan beban kewangan mereka dalam mendapatkan kemudahan Internet. Mereka akan menerima RM180 seorang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan Internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu,” katanya.

Inisiatif tersebut sekali gus dapat meningkatkan akses capaian Internet selain memastikan murid dan pelajar tidak keciciran dalam proses pembelajaran.

-Advertisement-

Pandangan sama turut diutarakan Timbalan Presiden Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak (MyBIM) Amir Hamidi Abd Manan yang menyifatkan kegagalan meneruskan Belanjawan 2021 akan menimbulkan dilema dan impak besar kepada sektor pendidikan khas.

“Peruntukan RM45 juta adalah satu jumlah yang besar buat sektor pendidikan khas. Tanpanya, kementerian akan mempunyai kesulitan dalam melaksana kerja-kerja memperkasakan pendidikan khas seperti yang telah dijadualkan,” katanya.

Menurutnya, terdapat pelbagai perancangan yang boleh ditambah baik bagi memperkasakan sektor pendidikan khas, antaranya meningkatkan lagi kemahiran Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dalam kalangan guru pendidikan khas, merapatkan jurang digital dan penambahbaikan TV Pendidikan dengan khidmat jurubahasa BIM yang bertauliah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran Mohammad Rizan Hassan berkata penolakan terhadap Belanjawan 2021 akan menyebabkan proses melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk keperluan industri negara berdepan dengan krisis kerana penyedia latihan awam dan swasta tidak dapat berbelanja.

Katanya, industri memerlukan tenaga kerja berkemahiran dalam kadar segera dan kegagalan memperkasakan TVET akan menyebabkan industri berfikir banyak kali untuk meneruskan operasi mereka di negara ini.

“Ketika ini, banyak penyedia latihan awam dan swasta sedang melaksanakan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) melalui inisiatif di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan untuk latihan kepada peningkatan kemahiran serta peluang pekerjaan kepada rakyat terjejas termasuk golongan belia.

“Malah, Belanjawan 2021 turut memperuntukkan sehingga RM6 bilion untuk TVET merentasi banyak kementerian seperti Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), Skim Perantisan Nasional (SPN) dan Pinjaman Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang diyakini mampu menarik minat belia,” katanya.

— BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share