Pengambilalihan konsesi lebuh raya dibangkit di Dewan Rakyat hari ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan rundingan semula pengambilalihan konsesi lebuh raya di negara ini oleh kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya antara perkara dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

-Advertisement-

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi soal jawab lisan diajukan oleh Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) kepada menteri kanan kerja raya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun) meminta perdana menteri menjelaskan status permohonan projek naik taraf jeti penumpang Pulau Pangkor serta perkembangan mengenai permohonan pemendekkan tempoh bebas cukai Pulau Pangkor dari 48 jam ke 24 jam.

Selain itu, Nor Azrina Surip (PH-Merbok) meminta menteri pelancongan, seni dan budaya menyatakan langkah agresif promosi pelancongan tapak arkeologi Sungai Batu.

-Advertisement-

Bagi isu kesihatan, Fuziah Salleh (PH-Kuantan) memohon penjelasan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkaitan status kerjasama kementerian itu dengan Kementerian Kesihatan bagi menangani isu gejala asap rokok sekunder atau ‘secondhand smoke’ dalam kalangan ibu bapa.

Tamat sesi itu, perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 diteruskan untuk hari yang ke-9 sebelum penggulungan oleh menteri.

Sidang Dewan akan berlangsung selama 4 jam sehari, mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan bebas – dibenarkan berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covid-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Dis. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share