Hormati bukan Islam, tarik balik larangan jualan arak, kata bekas panglima ATM kepada DBKL

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hashim Mohd Ali menggesa kerajaan menarik balik larangan jualan minuman beralkohol oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) demi menghormati hak dan kebebasan penduduk bukan Islam.

-Advertisement-

Hashim berkata Islam menuntut umatnya untuk melindungi hak dan kebebasan penganut agama lain.

Dalam satu kenyataan, Hashim menzahirkan rasa terkilan dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary bahawa larangan itu mungkin diperluaskan ke negeri lain.

“I mahu memberi peringatan kepada menteri-menteri setahun jagung untuk tidak ghairah dalam memaksa kefahaman agama mereka ke atas penganut agama lain, kata Hashim, yang menerajui ‘Chiefs Circle,’ sebuah kumpulan merangkumi bekas panglima ATM.

“Tindakan sedemikian bercanggah dengan prinsip asas Islam yang menuntut umatnya yang mempunyai kuasa untuk membela hak dan kebebasan penganut bukan Islam di bawah penjagaan mereka,” kata beliau.

“Justeru, saya ingin menggesa pihak berkuasa berkenaan untuk menarik balik larangan jualan minuman beralkohol ini.

-Advertisement-

“Jika tidak, ia akan memperlekeh semangat Rukun Negara kita, perpaduan nasional dan keharmonian kebudayaan serta kepelbagaian yang selama ini dinikmati penduduk Islam dan bukan Islam,” katanya.

Hashim berkata beliau tidak menggalakkan tabiat meminum arak, namun adalah mustahak hak bukan Islam di hormati selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

Minggu lalu, DBKL mengumumkan panduan baru untuk pemegang lesen jualan arak.

Di bawah peraturan baru itu, kedai serbaneka dan kedai runcit, kedai serbaneka serta kedai ubat-ubatan Cina dilarang menjual minuman beralkohol mulai Oktober 1 depan.

Jualan bir dibenarkan di premis berkenaan daripada jam 7 pagi hingga 9 malam namun minuman itu harus di pamerkan secara berasingan daripada minuman lain.

Hashim bimbang larangan jualan arak itu akan menambah tekanan ke atas daya tahan perniagaan sah yang sedia terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Mohamed Arshad Raji, menyifatkan tindakan melarang penjualan minuman beralkohol sebagai tidak masuk akal, sekali gus mempersoalkan pihak berkuasa jika perbuatan meminumnya lebih berbahaya daripada rasuah. -FMT

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares