PAC mahu KDN,KSM bersama kendali pekerja asing, gesa banteras peranan ‘pengantara’

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Sebuah jawatankuasa utama Parlimen mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) mewujudkan sistem bersepadu dalam pengurusan dan kawalan pengambilan pekerja asing yang dicalar dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

-Advertisement-

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen turut menegaskan tidak harus wujud peranan “pengantara” dalam permohonan memperolehi pekerja asing kepada Menteri Dalam Negeri (MDN).

“PAC berpendapat tidak seharusnya wujud mana-mana pengantara dalam permohonan kuota pekerja asing kepada MDN (dan) mengesyorkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap peranan pengantara yang terlibat,” kata Pengerusi PAC, Wong Kah Woh.

Beliau berkata demikian dalam pembentangkan laporan jawatankuasa itu berhubung aktiviti kawalan pekerja asing yang dikelolakan KDN dan KSM kepada Dewan Rakyat.

Wong berkata PAC turut mengesan kelemahan-kelemahan yang menyebabkan kecurian dan penyalahgunaan ID Pengguna dalam sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“PAC Parlimen mendapati ID Pengguna telah didakwa dicuri dan disalahgunakan untuk mewujudkan kuota palsu dalam sistem MyIMMs.

“Insiden di mana sistem begitu mudah boleh dicerobohi menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem keselamatan sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara,” katanya.

“Polis hendaklah mempercepatkan siasatan terhadap dakwaan kecurian dan penyalahgunaan ID Pengguna dalam sistem MyIMMs,” tambah beliau.

-Advertisement-

Wong juga berkata sebanyak 20 laporan polis telah dibuat sejak tahun 2017 tetapi hasil siasatan belum diketahui.

Beliau berkata ketika ini dokumen permohonan kuota pekerja asing tidak dapat dikongsi sepenuhnya kerana tidak ada integrasi yang menyeluruh antara melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan MyIMMs.

Katanya, KDN dan KSM hendaklah memastikan semua permohonan untuk kuota pekerja asing dibuat melalui permohonan biasa iaitu menerusi sistem ePPAx dan MyIMMs, dengan keputusan permohonan diberikan dalam tempoh munasabah.

Beliau berkata sistem bersepadu KDN dan KSM akan memastikan adanya kelangsungan data dari satu medan ke medan operasi yang lain merentasi kementerian dan jabatan.

Wong juga berkata siasatan PAC mendapati kelulusan membawa masuk pekerja asing melalui permohonan khas lebih tinggi berbanding dengan kelulusan melalui permohonan biasa dan menyifatkannya sebagai “tidak sihat.”

“Amalan ini juga tidak menepati tujuan asal proses permohonan kuota pekerja asing, iaitu bagi menyediakan saringan kelayakan yang ketat,” katanya.

Katanya, PAC juga mengesan kelemahan sistem yang menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan kepada pekerja yang gagal pemeriksaan Bio-Medical dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

“Selain itu, tiada rekod disimpan mengenai penghantaran pulang sebahagian pekerja asing yang gagal pemeriksaan Fomema. Ini akan mengakibatkan membawa risiko penularan penyakit berjangkit kepada penduduk tempatan,” katanya.

Wong berkata PAC mendapati kebajikan tahanan, penghuni serta warga kakitangan imigresen yang bertugas di semua depot serta penaiktarafan depot di seluruh negara perlu diberikan keutamaan. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share