Petugas kesihatan disaring untuk masalah kesihatan mental, kata menteri Sabah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Ujian saringan bagi mengesan sebarang masalah kesihatan mental dilakukan dari semasa ke semasa ke atas petugas kesihatan di Sabah yang berdepan cabaran mengekang penularan Covid-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun.

-Advertisement-

Jurucakap rasmi Covid-19 kerajaan Sabah itu berkata, sebarang masalah kesihatan mental yang dikesan dalam kalangan petugas kesihatan akan dirujuk kepada pihak berkaitan, termasuk pakar psikologi bagi memastikan ia diurus dan diselesaikan dengan baik.

“Pelbagai langkah telah diambil, terutama oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi mengesan masalah kesihatan mental (dalam kalangan petugas kesihatan) supaya ia boleh diatasi dengan tidak menjejaskan tugas mereka.

“Selain itu, petugas kesihatan juga boleh terus menghubungi Talian Sokongan Psikososial yang diwujudkan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) bagi mendapatkan bantuan mengenai kesihatan mental,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau menjawab soalan tentang laporan Bernama kelmarin mengenai permohonan Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah (SMSU) memperkemaskan langkah dan strategi menjaga kesihatan mental petugas kesihatan yang kini berdepan cabaran getir susulan pandemik Covid-19.

-Advertisement-

Masidi berkata, JKNS juga sentiasa memastikan setiap petugas kesihatan bersedia menghadapi cabaran Covid-19, antaranya memberikan taklimat mengenai tugas serta apa yang bakal dihadapi mereka.

“Sebelum bergerak ke zon merah petugas akan diberikan taklimat ‘pre-deployment’, kemudian semasa bertugas mereka diberi taklimat ‘intra-briefing’ dari semasa ke semasa dan taklimat ‘post-deployment’ selepas bertugas bagi memastikan kesihatan mental mereka sentiasa baik.

“Selain itu, setiap ketua unit juga bertanggungjawab terhadap jadual petugas kesihatan bagi memastikan mereka mendapat rehat secukupnya dan tidak tertekan dalam menjalankan tugas.”

Beliau berkata, jika terdapat kekurangan petugas kesihatan di sesebuah kawasan, khasnya di zon merah, JKNS akan membuat mobilisasi petugas segera daripada kawasan zon hijau atau kuning bagi memastikan petugas kesihatan di zon merah tidak terlalu terbeban.

“Apabila petugas kesihatan ini sakit, mereka perlu dirawat segera, justeru mobilisasi ini penting dalam memastikan tanggungjawab petugas kesihatan yang sakit itu dapat diambil alih segera dan berkesan. Dengan langkah ini, kita pastikan keberkesanan melawan Covid-19 tidak berkurangan.”

Mengenai isu pembayaran elaun dan pembekuan cuti petugas kesihatan yang dikhuatiri menjejaskan motivasi mereka, Masidi berharap isu itu dapat diselesaikan di peringkat jabatan untuk mencari situasi menang-menang bagi semua pihak terlibat. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share