Saham Top Gloves jatuh selepas 28 kilang diarah tutup

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Saham Top Glove Corp, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, merudum pada awal dagangan hari ini selepas kerajaan mengarahkan 28 kilangnya di Klang, Selangor menghentikan operasi secara berperingkat susulan lonjakan kes Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.

-Advertisement-

Bloomberg melaporkan saham Top Glove susut 7.5% pagi tadi, penurunan pertama dalam masa 3 hari.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, penutupan kilang itu bertujuan membolehkan pekerja menjalani saringan dan kuarantin wajib.

“Saya difahamkan hari ini saja, terdapat 1,067 kes positif dan atas nasihat KKM, mesyuarat khas setuju kilang-kilang ini ditutup secara berperingkat,” katanya pada sidang media semalam.

-Advertisement-

Semalam, kes baru Covid-19 mencapai rekod tertinggi, iaitu 1,884 kes, termasuk 1,203 kes di Selangor yang diikuti Sabah (289 kes) dan Kuala Lumpur (196 kes).

Pada 16 Nov lalu, kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ke atas asrama pekerja Top Glove di Klang, langkah yang akan menjejaskan 5,700 pekerja atau 27% daripada keseluruhan pekerjanya.

Menurut Bloomberg, penutupan baru itu berlaku ketika saham syarikat terbabit berdepan tekanan daripada laporan mengenai kemajuan vaksin Covid-19 dalam beberapa minggu ini.

Menurutnya, saham itu jatuh 19% bulan ini “berbanding peningkatan luar biasa tahun ini kepada kira-kira 342%”.

Katanya, Top Glove mempunyai lebih 21,000 pekerja yang mengeluarkan 90 bilion sarung tangan setiap tahun di 750 talian pengeluaran. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share