IATA minta pintu sempadan dibuka semula

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 25 Nov — Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-76 (AGM) telah sebulat suara bersetuju untuk menyelesaikan isu berkaitan sekatan perjalanan dengan meminta kerajaan di seluruh dunia supaya membuka semula pintu sempadan.

-Advertisement-

Dalam satu kenyataan hari ini, IATA berkata pihaknya mencadangkan pengembara antarabangsa menjalani saringan kesihatan secara sistematik, ia membolehkan sekatan perjalanan ditarik balik dan merupakan kaedah alternatif kepada proses menjalani kuarantin ketika ini.

Proses kuarantin menjejaskan permintaan untuk perjalanan udara dan kerajaan perlu mempertimbangkan kesannya terhadap sosioekonomi.

“Perjalanan udara antarabangsa akan terus turun kepada 90 bagi tahun 2019. Anggaran semasa adalah sebanyak 46 juta pekerjaan yang disokong oleh perjalanan udara akan terjejas dan aktiviti ekonomi yang dipacu oleh industri penerbangan akan berkurangan sebanyak US$ 1.8 trilion,” katanya.

Persatuan perdagangan bagi syarikat penerbangan di seluruh dunia berkata angkah-langkah dilaksanakan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi memastikan perjalanan udara selamat bagaimanapun penutupan pintu sempadan, sekatan perjalanan, proses kuarantin telah menyukarkan pengembara melakukan perjalanan udara.

-Advertisement-

“Kita harus menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu untuk mencegah virus itu tetapi bukan dengan menjejaskan industri penerbangan, menyebabkan risiko kehilangan kerja dan melumpuhkan ekonomi dan aktiviti sosial di seluruh dunia.

“Pintu sempadan boleh dibuka semula dengan ujian saringan COVID-19 yang sistematik,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac

Resolusi dalam AGM itu juga menegaskan komitmen berterusan industri penerbangan itu untuk melaksanakan protokol biokeselamatan yang dipersetujui secara global.

Sementara itu, IATA dalam satu kenyataan yang berasingan berkata AGM juga sebulat suara meluluskan resolusi yang mengesahkan komitmen syarikat penerbangan untuk mengaktifkan semula industri penerbangan dengan selamat dan mampan.

Resolusi itu meminta supaya kerajaan memastikan daya maju industri dengan sokongan kewangan dan pengawalseliaan yang berterusan, membantu industri dalam mencapai matlamat 2050 untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak separuh daripada paras pada 2005 sambil meneroka jalan untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar melalui pelaburan rangsangan ekonomi dalam mengkomersialkan ‘Sustainable Aviation Fuel (SAF)’.– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share