Insiden tembak di sempadan: Dua anggota PGA miliki nilai integriti tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 25 Nov — Mendiang Koperal Baharuddin Ramli dan rakan setugasnya Koperal Norihan a/l Tari yang parah semasa berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis awal pagi semalam, adalah contoh anggota polis memiliki integriti tinggi semasa menjalankan tugas.

-Advertisement-

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata pergorbanan dilakukan kedua-dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) itu satu kebanggaan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mereka sanggup berkorban jiwa dan raga dalam melaksana penugasan.

“Saya amat bangga dengan tindakan dua anggota PGA itu yang berani bersemuka, menyergah dan mengambil tindakan tegas terhadap 13 ahli penyeludup dan memberhentikan kegiatan seludup itu sehingga mereka (Baharuddin dan Norihan) ditembak.

“Pada hemat saya, masih ramai pegawai dan anggota polis yang berintegriti tinggi dan berkhidmat dengan baik,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas sempena Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah PDRM yang akan dilancarkan di Bukit Aman, esok.

Zamri berkata berdasarkan analisis dan rekod JIPS, hanya kira-kira empat peratus warga PDRM yang terlibat masalah integriti dan dikenakan tindakan manakala selebihnya bekerja dengan amanah dan jujur.

-Advertisement-

“Bagaimanapun, saya cukup khuatir sekiranya mereka (pegawai dan anggota polis terlibat masalah integriti) yang culas dan tidak bertanggungjawab semasa menjalankan tugas boleh menyebabkan moral serta imej PDRM terjejas,” katanya.

Beliau berkata pegawai dan anggota polis perlu sanggup berkorban kepada negara yang secara tidak langsung akan meningkatkan imej warga PDRM kepada masyarakat.

“Sebagai contoh, insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013. Bagaimana kami menangani isu pencerobohan Sulu. Semangat anggota PDRM berkobar-kobar untuk berkhidmat kepada negara ketika berdepan ancaman itu,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan dalam insiden awal pagi itu, mendiang Baharuddin, 54, terbunuh manakala rakannya Norihan 39, cedera parah apabila berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata insiden berbalas tembakan itu merupakan kali pertama berlaku di sempadan berkenaan.

Sebelum ini, hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu. Bunyi tembakan didengar pada 12 dan 15 Nov lepas. — BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •