Jualan kereta terpakai naik ketika pandemik, kata persatuan peniaga

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Sebuah persatuan mewakili penjual kereta terpakai berkata, jualan kenderaan meningkat ketika ini walaupun ekonomi meleset akibat pandemik Covid-19.

-Advertisement-

Tony Khor, presiden Persekutuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia, berkata pandemik tidak memberi kesan kepada industri itu kerana moratorium pinjaman menyeluruh terdahulu dan insentif kewangan lain yang diberikan kerajaan.

Katanya, jualan kereta terpakai selalunya tidak mudah berubah terhadap kejutan pasaran, contohnya kemelesetan ekonomi pada 2009.

“Untuk perbandingan tahun ke tahun, jualan kami pada Julai 2020 dari segi wang meningkat kira-kira 25%, manakala jualan pada Julai dan Ogos mencatat pertumbuhan lebih 17% dari tahun ke tahun,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pertumbuhan positif dalam jualan kereta turut disokong trend sihat bekalan kereta terpakai untuk tahun ini, khasnya pada suku ke-3.

“Jumlah jualan kereta pada Julai 2020 meningkat 13% berbanding tahun sebelumnya dan 29% dari segi bulanan seperti dilaporkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

“Ini mungkin disebabkan jumlah pembeli memilih pengangkutan peribadi berbanding menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan kebimbangan mereka dijangkiti virus Covid-19.

“Transaksi jualan kereta baru biasanya menyumbang kepada perdagangan kereta terpakai melalui tukar beli,” katanya sambil menambah tiada masalah lebihan bekalan untuk peniaga kereta terpakai ketika ini.

-Advertisement-

“Kami (peniaga kereta terpakai) akan terus menerima kereta.”

Baru-baru ini, MAA dilaporkan berkata, jualan kenderaan baru di Malaysia meningkat 5.2% kepada 56,670 unit bulan lalu, meningkat daripada 53,870 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jumlah jualan bulan lalu meningkat 0.4% berbanding September 2020.

Bagaimanapun, Khor berkata, permintaan untuk kereta terpakai mungkin merosot memandangkan insentif moratorium pinjaman menyeluruh sudah berakhir.

Walaupun kerajaan melanjutkan moratorium sehingga akhir Disember ini, lanjutan itu hanya untuk mereka yang hilang pekerjaan tahun ini dan masih menganggur.

Untuk menangani kemungkinan penurunan jualan pada tahun depan, beliau mencadangkan kerajaan terus memberi pengecualian cukai jualan bagi kereta tempatan dan import sekurang-kurangnya selama 6 bulan.

“Dengan pengeluar kereta terus memperkenalkan model baru, insentif pengecualian cukai boleh mendorong permintaan dan akan menyumbang kepada perdagangan kereta terpakai.”

Jun lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pengecualian cukai jualan 100% untuk kereta pemasangan tempatan dan 50% bagi kereta import mulai 15 Jun hingga 31 Dis ini dalam usaha membantu sektor automotif. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share