“Peruntukan RM29.98 Juta SJKT harus dikaji balik!” – Bekas Timbalan Menteri Pendidikan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 25 Nov 2020 (The Capital Post) – “Peruntukan RM29.98 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tidak cukup dan harus dikaji balik agihan dana tersebut” kata Dato P. Kamalanathan, Bekas Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Pengerusi Biro Pendidikan MIC.

-Advertisement-

“Peruntukan dana sebanyak RM29.98 juta ini tidak memadai dan hanya cukup untuk tujuan penyelenggaraan bangunan sekolah SJKT yang sedia ada. Sebarang jenis projek pembangunan seperti pembinaan bangunan tambahan, pembinaan tadika baharu dan merelokasi sekolah SJKT luar bandar ke bandar tidak dapat dilaksanakan sama sekali dengan agihan bajet ini” tambah beliau.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan tersebut berkata, sewaktu pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional khususnya dibawah kepimpinan Dato Seri Najib Abdul Razak, dari tahun 2009 sehingga tahun 2018 hampir 1 (satu) Billion Ringgit telah diperuntukan khas untuk pembangunan 524 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Malaysia yang merangkumi skop tugas pembinaan bangunan tambahan, penambahbaikan fasiliti di sekolah, relokasi sekolah dari luar bandar ke bandar dan pembinaan tadika baharu di SJKT.

-Advertisement-

“Dan segala usaha ini telah direalisasikan dengan tambahan pembinaan 6 Sekolah SJKT Baharu (SJK(T) Taman Keladi, Sungai Petani. Kedah, SJK(T) Heawood, Sg.Siput Perak, SJK(T) Taman Sentosa, Klang, Selangor, SJK(T) Taman PJS1, Petaling Jaya, Selangor , SJK(T) Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat, Selangor dan SJK(T) Bandar Seri Alam di Masai, Johor dan boleh dinilai sendiri oleh rakyat” ujur beliau kepada wartawan The Capital Post.

Ditanya mengenai formula yang digunakan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam mengagihkan Dana Belanjawan 2021, Dato P. Kamalanathan berkata Menteri Pendidikan YB Senator Radzi Jidin tidak mengadakan sebarang jenis perbincangan dengan Parti Malaysian Indian Congress (MIC) atau mana – mana pihak (stake holders) sebelum menggunakan formula pengagihan dana SJKT dan beliau sedang berusaha untuk bertemu dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mendapatkan lebih penjelasan berkaitan formula tersebut.

Semalam Menteri Pendidikan Malaysia mengumumkan agihan Peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia dimana Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) berstatus sekolah kerajaan, termasuk Sekolah Berasrama Penuh dan Kolej Vokasional mendapat RM477.48 juta manakala RM1.2 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah bantuan kerajaan.

Sebanyak RM74.07 juta diperuntukan SJKC kerajaan dan bantuan kerajaan, SJKT kerajaan dan bantuan kerajaan sebanyak RM29.98 juta, sekolah mubaligh kerajaan dan bantuan kerajaan pula sebanyak RM20.94 juta.Selain itu, sekolah conforming (SMJK) kerajaan dan bantuan kerajaan akan menerima RM4.11 juta manakala sekolah agama bantuan kerajaan RM12.23 juta. – The Capital Post

Share this Article
  • 393
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    393
    Shares