Rakyat takkan jadi tikus makmal vaksin Covid-19, kata menteri

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, tiada rakyat yang akan menjadi tikus makmal untuk vaksin Covid-19 yang dijangka diperolehi tahun depan.

-Advertisement-

“Sebab itu kita tidak akan kompromi soal keselamatan. Segala maklumat awal atau interim daripada syarikat perolehan kita akan teliti, saya tegaskan tiada sesiapa dalam Malaysia akan jadi tikus makmal,” katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Azis Jamman (PH-Sepanggar) mempersoalkan jaminan kerajaan untuk tidak menjadikan rakyat sebagai tikus makmal untuk program vaksinasi Covid-19 kelompok pertama.

Khairy berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai perolehan kumpulan pertama vaksin itu pada awal tahun depan.

Katanya, kumpulan pertama vaksin itu disasarkan kepada golongan dewasa, khususnya petugas barisan depan kerana ia belum diuji ke atas kanak-kanak di bawah 12 tahun.

-Advertisement-

Beliau berkata, 70% penerima vaksin kelompok pertama akan menerima manfaat selepas bekalan vaksin diperolehi daripada syarikat China yang dijangka diterima pada suku pertama tahun depan.

“Dengan sasaran 70% ini, akan ada kelompok yang tidak terima vaksin ini. Sebagai contoh, vaksin yang dibangunkan tidak lagi diuji terhadap kanak-kanak di bawah 12 tahun.

“Jadi, sudah tentu mereka tidak akan terima vaksin ini pada tahun depan dan kita akan tumpu pada golongan dewasa dahulu untuk tingkatkan imuniti kelompok,” katanya menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai status 30% rakyat yang tidak menerima vaksin itu.

Media sebelum ini melaporkan pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati 155 jenis vaksin masih di peringkat ujian pra-klinikal dan 47 lagi di peringkat klinikal setakat 3 Nov lalu.

Sepuluh daripada 47 jenis vaksin di peringkat klinikal itu kini di ujian klinikal fasa 3 dan belum ada vaksin yang melepasi ujian itu bagi kegunaan orang ramai. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share