Polis buru saki-baki penyeludup terbabit kejadian tembak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KANGAR, 26 Nov — Polis kini memperhebat gerakan memburu saki-baki kumpulan penyeludup yang dipercayai terbabit dalam kejadian berbalas tembakan dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand dua hari lalu, susulan penangkapan suspek utama kes itu.

-Advertisement-

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata suspek utama tersebut, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar dekat sini pada 10 malam tadi.

“Suspek utama bersama dua lelaki warga tempatan dan seorang suspek warga Thailand direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 2 Dis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Perintah reman terhadap empat lelaki berusia 26 hingga 45 tahun terbabit dikeluarkan Pendaftar Majistret Kangar Monica Joseph Gaisah di sini hari ini.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Surina berkata gerakan memburu saki-baki ahli kumpulan penyeludup terbabit dibantu Bukit Aman.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan, kerana membunuh dan percubaan membunuh, katanya.

Dalam insiden awal pagi Selasa, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 (tembok sempadan) di Padang Besar, Perlis.

Mendiang Baharuddin, daripada suku kaum Semelai, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya Norihan yang sebelum ini dirawat di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, kini dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut.

Semalam, 15 warga tempatan diperintahkan direman selama empat hari manakala tiga rakyat Thailand direman seminggu bagi membantu siasatan kes itu. — BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share