Untung bersih Westports bagi suku ketiga meningkat kepada RM203.8 juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 26 Nov — Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd naik 28 peratus tahun ke tahun kepada RM203.85 juta bagi suku ketiga yang berakhir 30 Sept 2020 berikutan peningkatan perolehan kontena dan kos operasi lebih rendah.

-Advertisement-

Pertumbuhan truput kontena meningkatkan perolehan kepada RM528.36 juta daripada RM460.43 juta sebelum ini.

“Truput kontena menokok pada suku ketiga 2020 dengan pertumbuhan enam peratus kepada 2.93 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) berikutan aktiviti global yang kembali beroperasi selepas ditutup sebelum ini,” kata pengendali operator itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Westports mengendalikan truput kontena yang lebih rendah iaitu 7.73 juta TEU berbanding tempoh yang sama tahun lepas berikutan jumlah dan permintaan ke atas kontena telah dijejaskan oleh beberapa bentuk sekatan perjalanan keluar masuk.

-Advertisement-

Bagaimanapun, keuntungan bersih bagi sembilan bulan pertama naik kepada RM490.99 juta daripada RM465.46 juta sebelum ini manakala perolehan menambah kepada RM1.43 bilion daripada RM1.33 bilion.

Pengarah Urusan kumpulan Datuk Ruben Emir Gnanalingam berkata peningkatan semula jumlah kontena pada suku ketiga selepas banyak negara menamatkan pelbagai bentuk sekatan perjalanan keluar masuk atau sekatan pergerakan, telah mengurangkan kemerosotan pada enam bulan pertama tahun ini.

“Ketika kita memasuki suku keempat, banyak rantau dan bandar telah mengenakan semula pelbagai bentuk sekatan perjalanan keluar masuk.

“Bagaimanapun, kami dengan berhati-hati menjangkakan impak yang kurang teruk dalam sekatan perjalanan keluar masuk yang terbaharu ini berbanding pada suku kedua 2020 disebabkan masyarakat dan negara menyesuaikan dengan sekatan pergerakan ini,” katanya.

— BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •