KPDNHEP Melaka lantik pemborong, peruncit daerah pastikan bekalan mencukupi

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA, 27 Nov — Sebanyak 58 Pemborong Daerah Terpilih (DDW) dan 140 Peruncit Daerah Terpilih (DDR) yang terdiri daripada peniaga barangan keperluan dilantik sebagai pembekal dan pengedar bagi memastikan bekalan keperluan asas pengguna di negeri ini, sentiasa mencukupi.

-Advertisement-

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar berkata dalam masa yang sama, peniaga terlibat perlu memberi laporan status kedudukan barangan keperluan kepada pihaknya secara harian bagi tujuan pemantauan.

“KPDNHEP Melaka sentiasa bersiap sedia dan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan seperti minyak masak, gula, tepung, telur, beras dan ayam tidak terjejas.

“Sehingga semalam, tiada sebarang aduan diterima berkaitan kekurangan bekalan makanan di pasaran dan bekalan barangan keperluan adalah mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

-Advertisement-

Norena berkata peniaga diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan dan mengekalkan etika perniagaan yang baik bagi membantu kerajaan menangani penipuan dan penindasan di dalam perniagaan.

Beliau berkata pegawai penguatkuasa KPDNHEP Melaka sentiasa melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku membabitkan hal-hal kepenggunaan.

Katanya, pengguna juga diminta menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan.

Sebarang pertanyaan lanjut atau aduan boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal pukul 8 pagi hingga 6 petang atau menghubungi ECC KPDNHEP Putrajaya di talian 03-88826088 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

— BERNAMA

Share this Article
  • 14
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    14
    Shares