MAHB catat kerugian bersih RM319.7 juta pada suku ketiga, hasil menyusut 71 peratus

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus mencatatkan kerugian tahun ini dengan kerugian bersih berjumlah RM319.72 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept berbanding keuntungan bersih RM197.87 juta yang dicatatkan pada suku yang sama 2019.

-Advertisement-

Ini disebabkan oleh penurunan hasil sebanyak 70.7 peratus kepada RM396.69 juta daripada RM1.36 bilion tahun sebelumnya.

Operasi Malaysia, Turki dan Qatar, masing-masing merekodkan penyusutan dalam hasil sebanyak 73 peratus, 67.7 peratus dan 45.5 peratus, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Rangkaian lapangan terbang MAHB mencatatkan sejumlah 36.2 juta penumpang dalam tempoh sembilan bulan hingga 30 Sept, 2020, menguncup 65.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam tempoh yang sama, laluan trafik kumpulan untuk penumpang antarabangsa dan domestik, masing-masing merosot 73.6 peratus dan 58.2 peratus, katanya.

-Advertisement-

Mengenai prospek, MAHB berkata permintaan keseluruhan untuk pengembaraan udara global diharap dapat terus bertahan seperti yang telah ditunjukkan sejak beberapa bulan lepas dengan pemulihan laluan trafik dalam tempoh terdekat, bergantung kepada keberkesanan langkah dan prosedur operasi standard.

Ia dikuatkan lagi dengan langkah-langkah serta tindakan lapangan terbang untuk memastikan keselamatan penumpang udara.

“Dengan bermulanya operasi hab e-penunaian di Platform Perdagangan Dunia Elektronik Cainiao Aeropolis di Malaysia pada awal November, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka menyaksikan kesalinghubungan penerbangan yang lebih baik di lapangan terbang dengan meningkatnya kekerapan dan kapasiti penerbangan.

“Kemudahan baharu ini dijangka dapat membantu meningkatkan jumlah kargo sebanyak 700,000 tan, sekali gus menggandakan jumlah kargo KLIA pada masa ini kepada 1.4 juta tan setahun menjelang 2029,” kata syarikat.

— BERNAMA

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares