Menara komunikasi penyelesaian terbaik isu internet Kampung Gusi, Sabah – CTT

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU, 30 Nov — Pembinaan menara komunikasi merupakan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu liputan internet jalur lebar di kawasan Kampung Gusi, Ranau, kata Pengerusi Common Tower Techonologies Sdn Bhd (CTT) Ghazalie Ansing.

-Advertisement-

Beliau berkata ini kerana masalah internet di kawasan itu adalah berpunca daripada radius jaringan jalur lebar yang tidak cukup meluas dan ia boleh diselesaikan dengan adanya menara komunikasi yang mempunyai radius liputan yang lebih meluas.

“Di Kampung Gusi, capaian terhad menyebabkan pelajar sekolah terpaksa mencari lokasi tertentu untuk membolehkan mereka mengakses jalur lebar. Bagi memastikan jalur lebar boleh diakses dari tempat tinggal tanpa pelajar keluar dari rumah, pembinaan menara telekomunikasi adalah penyelesaian mutlak.

“Radius capaian jalur lebar yang mencecah beberapa kilometer membolehkan bukan sahaja pelajar sekolah, tetapi para penduduk Kampung Gusi dan penghuni di kawasan sekitarnya turut mendapat manfaat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Pada 23 Nov lepas, tiga pelajar cedera selepas terjatuh ketika menyusuri jambatan gantung di Kampung Gusi untuk mendapatkan rangkaian internet bagi mengikuti kelas atas talian.

-Advertisement-

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan memaklumkan akan melaksanakan penyelesaian sementara dengan menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada Kampung Gusi melalui teknologi ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) dengan sokongan CTT.

Selain itu, MCMC memaklumkan tiga menara telekomunikasi akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Ghazalie berkata VSAT mampu memberikan capaian jalur lebar pada radius kira-kira 100 hingga 200 meter sahaja, justeru piring pemancar akan diletakkan di kawasan sekolah untuk kemudahan pelajar dan CTT menyambut baik pembinaan tiga menara itu sebagai penyelesaian mutlak isu internet di kawasan itu.

“Pembinaan menara telekomunikasi perlu diperbanyakkan di seluruh negeri terutama di kawasan luar bandar untuk memastikan masyarakatnya turut mendapat akses jalur lebar terbaik seperti yang dinikmati masyarakat bandar,” katanya.

CTT merupakan sebuah anak syarikat milik penuh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd sebuah cabang pelaburan Kerajaan Sabah.
— BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share