Malaysia sedia bekal ubat HIV mampu milik dilulus WHO

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia bersedia membekalkan ubat HIV mampu milik yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), selepas disenaraikan dalam perjanjian pelesenan dengan sebuah syarikat pakar HIV global.

-Advertisement-

Kelompok Paten Ubat (MPP) menandatangani satu perjanjian pelesenan sukarela dengan ViiV Healthcare untuk memperluaskan akses kepada regimen rawatan berasaskan dolutegravir kepada negara berpendapatan menengah atas tertentu, iaitu Azerbaijan, Belarus, Kazakhstan dan Malaysia.

Hisham dalam catatan di Twitter berkata, ini peristiwa penting bagi Malaysia yang tidak selalunya disenaraikan di bawah MPP dan versi ubat mampu milik itu diperlukan untuk menamatkan krisis HIV di seluruh dunia.

-Advertisement-

“Malaysia dapat menyediakan ubat penting ini dalam versi mampu milik dan diluluskan WHO kepada penghidap HIV yang memerlukan rawatan.

“Kami berharap saingan antara pengeluar ubat generik akibat lesen ini akan menghasilkan ubat berkualiti pada harga lebih rendah.

“Kami berharap ia akan membawa kepada lebih banyak kaedah untuk mendapatkan akses segera bagi ubat yang dapat menyelamatkan nyawa. Kementerian Kesihatan mengucapkan terima kasih kepada MPP dan semua pihak terbabit dalam membuat keputusan luar biasa ini menjadi kenyataan.” -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share