Parlimen: Dua langkah tangani pengurangan pekerja asing dalam sektor perladangan – KPPK

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Kerajaan memperkenalkan dua penyelesaian bagi menangani impak besar akibat pengurangan pekerja asing dalam sektor perladangan, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi II, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

-Advertisement-

Beliau berkata sebagai penyelesaian jangka pendek, kerajaan telah memberi kelonggaran kepada majikan yang terkesan dan tidak berkeupayaan meneruskan penggajian pekerja asing untuk memindahkan atau menukarkan keseluruhan atau sebahagian pekerja asing mereka kepada syarikat lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja melalui Permohonan Pertukaran Majikan (PTM).

Kerajaan juga telah melancarkan Pelan Kalibrasi Semula Pendatang Asing Tanpa Izin bermula 16 Nov, 2020 hingga 30 Jun, 2021 yang merangkumi dua komponen utama program khas iaitu Program Kalibrasi Semula Pulang dan Program Kalibrasi Semula Tenaga Kerja, katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai mekanisme perancangan kementerian bagi menangani impak besar pengurangan pekerja asing dalam sektor perladangan.

-Advertisement-

Wee berkata Program Kalibrasi Semula Pulang merupakan program yang membenarkan pendatang asing tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat tertentu yang ditetapkan.

Beliau berkata Program Kalibrasi Semula Tenaga Kerja pula merupakan suatu program khas untuk membenarkan penyertaan pendatang asing tanpa izin di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan yang layak tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan industri komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk Orang Asli bekerja di sektor ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan amat memahami situasi yang dihadapi oleh pihak industri mengenai kekurangan tenaga kerja susulan pandemik COVID-19 yang kini berada pada gelombang ketiga.

“KPPK juga menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan industri komoditi agak kritikal dan dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri komoditi tani negara,” katanya.– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share