Prestasi sektor runcit 185% lebih teruk daripada jangkaan suku ketiga

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Kumpulan Peruncit Malaysia (RGM) berkata, sektor itu mencatat pertumbuhan “lebih teruk daripada jangkaan” pada suku ketiga 2020, menguncup sebanyak 9.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.

-Advertisement-

“Hasil suku tahunan terbaru ini jauh di bawah jangkaan pasaran,” kata RGM dalam satu laporan.

Katanya, ahli Persatuan Peruncit Malaysia mengunjurkan kadar pertumbuhan -3.4% untuk suku ketiga.

“Hasil terbaru ini 185% lebih teruk daripada jangkaan terdahulu,” kata RGM yang mengaitkannya dengan beberapa faktor, termasuk pembeli masih bimbang dengan Covid-19.

“Mereka ke kedai runcit untuk membeli keperluan asas dan memilih tidak berbelanja untuk barang lain.”

Laporan itu turut memetik pemotongan gaji, yang mengurangkan kuasa membeli pengguna, menyebabkan pertumbuhan jualan runcit menguncup 18.4% untuk 9 bulan pertama 2020 berbanding tempoh sama pada 2019.

-Advertisement-

Dengan pengecualian kedai runcit khas, termasuk saluran beli-belah televisyen dan mereka yang menjual fotografi, mainan, barang terpakai, barangan optik dan kanak-kanak, semua subsektor runcit lain menyaksikan penurunan jualan pada suku ketiga.

Pasar raya dan pasar raya besar turut terjejas, dengan jualan merosot 15.1%, lebih teruk daripada suka pertama dan kedua 2020.

“Ahli persatuan peruncit masih pesimistik dengan perniagaan mereka dalam 3 bulan ini dan menjangkakan kadar pertumbuhan purata -15.1% pada suku keempat 2020.”

RGM berkata, ia juga mengkaji semula kadar pertumbuhan runcitnya untuk suku keempat terus merosot sehingga -18.2% akibat lanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Katanya, kadar pertumbuhan runcit dianggarkan menguncup sehingga -15.8% untuk sepanjang tahun.

Untuk tahun depan, RGM mengunjurkan kadar pertumbuhan sebanyak 4.9%. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share