465 kes cubaan bunuh diri dirujuk ke KKM dari Jan hingga Julai tahun ini – Dr Adham

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Sejumlah 465 cubaan kes bunuh diri dilaporkan dan menerima rawatan di Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba.

-Advertisement-

Dr Adham berkata bagaimanapun data itu adalah merujuk kepada kes yang menerima rawatan di fasiliti kesihatan KKM sahaja dan bukan disebabkan oleh impak pandemik COVID-19 semata-mata.

“Sebanyak 9,502 kes yang merujuk secara khusus kepada bilangan kes gangguan mental dan tingkah laku bunuh diri yang telah discaj daripada hospital KKM dicatatkan sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2020,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.

-Advertisement-

Maklumat itu sebagai menjawab soalan Hannah Yeoh (DAP-Segambut) mengenai status terkini rancangan mewujudkan pangkalan data khas kes bunuh diri di Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia bagi memastikan data terperinci direkodkan, peruntukan yang diperlukan, jumlah kes bunuh diri dan trend terbaharu kes kesihatan mental yang direkodkan di Malaysia sejak Mac 2020.

Dr Adham berkata KKM telah membentangkan kertas cadangan pembangunan Sistem Registri Kebangsaan bagi kes-kes bunuh diri dan kecederaan fatal iaitu ‘National Suicide and Fatal Injury Registry Malaysia (NSFIRM)’ pada 21 Mei lalu kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Projek ini telah disenaraikan di dalam projek Rolling Plan 1 Tahun 2021, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan peruntukan sebanyak RM4.2 juta.– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share