Macau Scam: 12 individu di Perak direman bawah POCA

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH, 3 Dis — Seramai 12 individu direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan Macau Scam membabitkan kerugian RM11 juta.

-Advertisement-

Kesemua mereka yang merupakan warga tempatan termasuk empat wanita, berusia 20 hingga 26 tahun, adalah antara 22 suspek yang ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 30 Okt lepas.

Perintah reman selama 21 hari bermula hari ini hingga 23 Dis depan di bawah Seksyen 4(1) POCA itu dikeluarkan oleh Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di perkarangan mahkamah dengan tangan bergari dan diiringi pasukan keselamatan kira-kira 10.30 pagi bagi proses reman.

-Advertisement-

Perintah reman itu dikeluarkan di sini bagi membantu siasatan kes, hasil laporan polis yang dibuat oleh seorang mangsa di daerah ini.

Pada 30 Okt lepas, polis Perak menumpaskan sindiket Macau Scam yang dipercayai terlibat dalam 76 kes penipuan sejak dua tahun lalu menerusi operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Perak bersama JSJK Bukit Aman hasil risikan selama seminggu.

Mereka merupakan sindiket Macau Scam pertama yang berpangkalan di negara ini yang didalangi rakyat Malaysia dan menjadikan rakyat tempatan sebagai mangsa.

Kumpulan ini dipercayai berpangkalan dan melakukan penipuan di luar negara sebelum ini, tetapi balik ke Malaysia disebabkan COVID-19 dan seterusnya mewujudkan pusat panggilan di kondominium itu untuk menipu mangsa di negara ini selepas tidak boleh keluar negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. — BERNAMA

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares