Pemilik dron di Sabah perlu dapatkan permit sebelum terbangkan dron

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU, 3 Dis — Peminat mahupun pemilik dron di Sabah perlu mendapatkan permit kelulusan daripada pihak berkaitan sebelum menerbangkan dron di sesuatu kawasan.

-Advertisement-

Memberi peringatan itu, Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP Ahmad Lokman Abd Hadi berkata pemilik perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

“Selepas mendapat kebenaran, mereka juga perlu permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) agar aktiviti menerbangkan dron dapat dijalankan di kawasan yang dibenarkan.

“Di Sabah memang ada aktiviti menerbangkan dron tetapi lebih kepada hobi dan setakat ini PGU menjalankan pemantauan sekiranya ada menerima laporan (menceroboh kawasan larangan),” katanya kepada Bernama.

Ahmad Lokman berkata sebelum ini PGU pernah menerima laporan bahawa terdapat dron lain telah menceroboh kawasan kediaman orang kenamaan.

-Advertisement-

Bagi menghalang kejadian itu berulang, Unit Dron PGU Sabah telah dibekalkan sebuah alat Jammer yang berfungsi menyahaktifkan dron lain yang diterbangkan di kawasan yang dilarang.

Menerbangkan dron tanpa permit adalah salah mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016).

Kesalahan mengendalikan dron tanpa kebenaran boleh dikenakan denda minimum RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu manakala denda maksimum RM100,000 untuk badan korporat.

Ahmad Lokman berkata antara kawasan yang dilarang termasuk di kawasan PGU Sabah dan dron tidak akan berfungsi meskipun diterbangkan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata ketika ini PGU Sabah mempunyai empat jenis dron iaitu Dji Phantom 3 Professional; Dji Inspire 1; Dji Mavic 2 Enterprise Zoom dan Dji Mavic 2 Enterprise Dual dan sebuah Jammer iaitu Orion 7 MP. — BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share