Rakyat kita di Singapura bukan gelandangan, kata MB Johor

Estimate Reading Time: < 1 minute

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad menolak dakwaan warganegara Malaysia yang terkandas di Singapura ialah gelandangan dan kerajaan negeri itu tampil menghulurkan bantuan dengan mengagihkan bakul makanan kepada mereka.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian susulan laporan Berita Harian pada 22 Nov lalu yang mendakwa ratusan rakyat Malaysia kini hidup bagaikan gelandangan di Singapura akibat penutupan pintu sempadan.

Pekerja Malaysia itu yang berulang-alik dari Johor Bahru selama ini, terpaksa berehat dan tidur di bangku taman awam, masjid atau menumpang mandi di pejabat.

Hasni berkata, kumpulan rakyat Malaysia itu hanya berehat seketika di tempat awam sebelum meneruskan pekerjaan kerana tidak dapat berulang-alik ke Johor seperti kebiasaan.

“Mereka berada di Singapura atas pilihan mereka, bukan terkandas. Ini adalah kerana SOP yang mereka (perlu) patuhi.

-Advertisement-

“Mereka berada di sana disebabkan tidak dibenar ulang alik secara harian dan mereka menghadapi sedikit kesulitan kerana biasanya mereka boleh berulang alik (ke Johor).

“Atas dasar itu, kita bantu (inisiatif bakul makanan) sebagai tanda kerajaan Johor mahu bersama-sama rakyat kita yang mengalami kesulitan,” katanya selepas menyempurnakan program bakul makanan itu hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 1,000 bakul makanan akan diagihkan kepada rakyat Malaysia di sana mengikut garis panduan serta nasihat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

“Misi penyerahan dan pengagihan fasa pertama 300 bakul makanan melibatkan kos RM30,000 akan dilakukan dengan segera dan selebihnya secara berperingkat-peringkat, manakala bakinya pada fasa kedua.

“Kita akan teruskan sehingga sempadan dibuka. Buat masa ini, tiada cadangan pemberian wang tunai, tetapi kita tumpu pada bakul makanan.” -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share