Kabinet akan bincang perubahan laluan HSR, kata sumber

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Kabinet belum memutuskan sama ada akan mengeluarkan Singapura daripada Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan akan membincangkan kemungkinan berbuat demikian tidak lama lagi, menurut sumber.

-Advertisement-

Bercakap dengan FMT, sumber mengesahkan laporan bahawa idea untuk menamatkan laluan di Johor Bahru turut dicadangkan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan rakan sekerjanya dari Singapura, Lee Hsien Loong, mengadakan perbincangan berhubung projek HSR semalam menjelang 31 Dis yang merupakan tarikh akhir lanjutan projek berkenaan.

“Kajian berkait projek HSR dibuat enam tahun lalu dan terdapat banyak perubahan yang berlaku sejak itu,” kata sumber.

Beliau mendakwa sebilangan menteri meragui bahawa projek berkenaan akan memberi manfaat kepada Malaysia seperti yang dibayangkan.

“Syarikat penerbangan perkhidmatan penuh lebih gemar menggunakan Lapangan Terbang Changi sebagai hab penyambungan ke Malaysia berbanding KLIA, manakala rakyat Malaysia dan juga orang asing akan menggunakan HSR untuk sambungan antarabangsa, bukan KLIA,” katanya.

“Ini akan menyaksikan syarikat penerbangan tidak memilih untuk terbang ke KLIA.”

-Advertisement-

Beliau berkata pelanggaran perjanjian HSR dengan Singapura akan menyebabkan Malaysia terpaksa membayar pampasan sebanyak RM320 juta.

Bagaimanapun beliau berkata, untuk jangka panjang, adalah lebih baik membayar pampasan memandangkan Singapura akan mendapat lebih banyak manfaat daripada HSR berbanding Malaysia.

“Lebih baik hilang RM300 juta sekarang daripada RM3 bilion pada masa akan datang.”

Beliau berkata, mungki tiada keperluan untuk membina HSR dan Malaysia boleh menimbangkan perkhidmatan rel lain untuk menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Ia tidak semestinya kereta api berkelajuan tinggi seperti di Jepun. Lebih penting ia laju, menggunakan elektrik dan memenuhi kepentingan Malaysia, bukan Singapura.”

Beliau berkata Putrajaya akan terus memeriksa perkara itu dan mewajarkan keperluan menyegerakan pelaksanaan projek itu.

“Kita menghadapi masalah kewangan disebabkan Covid-19,” katanya.

“Jadi masanya tepat untuk mengkaji semula cadangan asal.” -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share