Umno mahukan kerusi MB Perak, ganti PPBM

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Menteri Besar Perak yang baharu harus dipilih dari kalangan Adun Umno bagi menggantikan Ahmad Faizal Azumu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman.

-Advertisement-

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, menyifatkan Umno sebagai pilihan logik untuk mengisi jawatan itu selepas Ahmad Faizal Azumu kalah dalam undian usul percaya di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Tajuddin berkata Umno harus mengisi jawatan itu kerana ia mempunyai jumlah Adun paling ramai, berbanding semua parti lain.

“Kami memiliki bilangan Adun yang paling banyak…namun perkara ini (pelantikan MB) tetap di bawah budi bicara Sultan (Perak),“ beliau memberitahu FMT.

-Advertisement-

Faizal yang juga timbalan presiden PPBM akan meletak jawatan setelah 48 daripada 59 Adun tidak menyokong usul undi percaya terhadapnya. Beliau hanya memperolehi 10 undi manakala satu undi rosak.

Tajuddin berkata Faizal tewas kerana semakin “tidak popular” yang dipancarkan jelas menerusi hasil undian yang tidak memihaknya.

Menurut Tajuddin, prestasi Faizal sebagai MB “tidak menepati sasaran” dan menegaskan rakyat Perak berhak memperolehi seorang pemimpin baharu yang bekerja gigih untuk mereka.

Barisan Nasional mempunyai 25 ADUN di DUN, PPBM lima dan PAS tiga. Gerakan mempunyai satu ADUN manakala Bebas juga seorang.

Pakatan Harapan mempunyai 24 Adun, dengan 16 daripada mereka wakil DAP, Amanah lima dan PKR tiga. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share