Tamat laluan bas hanya susahkan pengguna, bas lain sesak, kata NGO kepada RapidKL

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: NGO pengangkutan awam menyelar Rapid KL berhubung keputusannya menghentikan 13 laluan bas, menyatakan ia akan menyusahkan pengguna dan menyebabkan kesesakan dalam bas lain.

-Advertisement-

Transit Malaysia berkata, 13 laluan bas meliputi 190km dan penutupan laluan berkenaan akan memisahkan kawasan kejiranan serta daerah dari pusat bandar, menambah sebilangan laluan itu sangat penting.

Ia termasuk laluan 754 antara Shah Alam dan Puncak Perdana yang dikatakan satu-satu laluan bas menghubungkan UiTM Puncak Perdana.

Katanya, mereka terkejut Rapid KL menyatakan faktor bilangan penumpang yang rendah kerana pelaksanaan perintahah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dikenakan di Lembah Klang, alasan untuk menghentikan laluan berkenaan.

“Bagi mengelakkan penyebaran Covid-19, rakyat telah mematuhi saranan pihak kerajaan dan ini tidak patut dijadikan alasan bagi pihak RapidKL untuk menutup laluan perkhidmatan.

“Sepanjang perintah kawalan pergerakan, pihak RapidKL tidak pernah mengeluarkan rancangan pemulihan untuk masa hadapan dan tindakan tersebut memberi persepsi kepada rakyat bahawa RapidKL tiada penggantian koridor laluan yang diputuskan selepas pandemik mereda,” katanya dalam kenyataan.

-Advertisement-

NGO itu berkata, alasan lain RapidKL adalah laluan bertindih tetapi ia berkata solusi yang lebih baik untuk masalah tersebut ialah meleraikan pertindihan dan bukannya menutup keseluruhan laluan itu.

Katanya, menghentikan laluan atas pertindihan akan menjurus kepada peningkatan penumpang dalam laluan bas alternatif dan menambah, RapidKL kini mengehadkan kapasiti sebanyak 30 hingga 40 penumpang dalam satu bas.

Ia juga mengkritik RapidKL membuat keputusan itu tanpa melalui perundingan awam dan berkata, ia penghinaan kepada pengguna pengangkutan awam.

“Transit menyeru Menteri Pengangkutan supaya mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggubal model standard di peringkat nasional yang menghuraikan bagaimana laluan bas akan dimulakan atau dihentikan.

“Pihak Transit menyeru RapidKL menghentikan tindakan penamatan laluan bas sehingga standard ini dibuat. Pihak Transit juga menyeru agar standard dan model baharu ini akan disebarkan kepada khalayak ramai bagi tujuan rundingan,” katanya.

NGO itu turut menggesa Kementerian Kewangan dan Prasarana membuat model baru untuk pengangkutan awam yang mementingkan kualiti dan piawaian perkhidmatan daripada pengurangan kos. -FMT

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares