Calon MB dari Umno: PAS Perak tunggu lampu hijau dari pimpinan pusat

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: PAS Perak menunggu “lampu hijau” daripada pucuk pimpinan parti itu di peringkat pusat berhubung sokongan kepada calon menteri besar pilihan Umno.

-Advertisement-

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak Razman Zakaria berkata, apa sahaja keputusan daripada pimpinan pusat mereka akan patuhi.

“Kita tunggu keputusan daripada pusat (berhubung sokongan kepada calon MB pilihan Umno),”katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bahawa partinya sudah mempunyai sokongan majoriti mencukupi untuk diangkat sebagai menteri besar Perak baharu termasuk dari PAS dan PPBM.

Razman berkata, PAS kekal dengan pendirian sebelum ini untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.

-Advertisement-

Beliau turut memaklumkan ADUN PAS dan PPBM di Perak akan menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah 3 petang ini.

“Kita pertahan kerajaan PN di Perak, itu asas prinsip kira dan apa-apa yang lain keputusan selepas itu bergantung kepada pimpinan pusat,”katanya.

Ahmad Zahid mengumumkan calon partinya sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk diangkat sebagai menteri besar Perak baharu, selepas bertemu Sultan Perak pagi tadi.

Beliau berkata PAS dan PPBM memberikan sokongan kepada pembentukan pentadbiran baharu pimpinan calon pilihan UMNO, yang terbentuk dengan penyingkiran Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, menerusi usul percaya yang diusulkan oleh UMNO sendiri baru-baru ini.

Sementara itu Ahli Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini, berkata, Istana Perak mahu melihat bukti sokongan ADUN PAS dan PPBM pada calon pilihan UMNO. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share