Daftar prabayar tanpa pengesahan, lima syarikat dikompaun RM750,000 – MCMC

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 9 Dis — Sebanyak 15 kompaun bernilai RM750,000 dikeluarkan kepada lima syarikat telekomunikasi pada 4 Dis lalu atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

-Advertisement-

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Dengan pengeluaran kompaun terbaru tersebut, ini bermakna jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang tahun 2020 adalah sebanyak 70 kompaun bernilai RM3.45 juta.

“Jumlah berkenaan adalah 16 peratus lebih tinggi berbanding 58 kompaun bernilai RM2.9 juta yang dikeluarkan pada tahun 2019 bagi kesalahan yang sama,” menurut kenyataan itu.

-Advertisement-

MCMC memaklumkan penerima jumlah kompaun tertinggi ialah syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan lima kompaun bernilai RM250,000 diikuti Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

Syarikat Umobile Sdn Bhd dikenakan tiga kompaun bernilai RM150,000 manakala Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd masing-masing dikenakan dua kompaun bernilai RM100,000 dan satu kompaun bernilai RM50,000.

MCMC memaklumkan tindakan kompaun itu diambil berdasarkan audit yang dijalankan MCMC di Pahang, Kelantan dan Terengganu sekitar Ogos dan Oktober tahun lepas.

Katanya, tindakan diambil mencerminkan usaha tegas dan berterusan oleh MCMC dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes-kes penipuan (scam) dalam talian yang semakin meningkat.– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share