SKMM keluar 70 kompaun RM3.45 juta kepada syarikat telekomunikasi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sejumlah 70 kompaun bernilai RM3.45 juta dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada syarikat telco sehingga kini bagi tahun 2020, atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

-Advertisement-

SKMM dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 15 kompaun bernilai RM750,000 dikeluarkan kepada lima syarikat telekomunikasi pada 4 Dis lalu atas kesalahan itu.

Kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Jumlah keseluruhan kompaun berkenaan adalah 16% lebih tinggi berbanding 58 kompaun bernilai RM2.9 juta yang dikeluarkan pada tahun 2019 bagi kesalahan sama,” menurut kenyataan itu.

-Advertisement-

SKMM memaklumkan penerima jumlah kompaun tertinggi yang dikeluarkan pada 4 Dis ialah syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan lima kompaun bernilai RM250,000 diikuti Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

Syarikat Umobile Sdn Bhd pula dikenakan tiga kompaun bernilai RM150,000; Tune Talk Sdn Bhd dikenakan dua kompaun berjumlah RM100,000 manakala YTL Communications Sdn Bhd dikenakan satu kompaun bernilai RM50,000.

SKMM berkata tindakan kompaun itu diambil berdasarkan audit yang dijalankan SKMM di Pahang, Kelantan dan Terengganu sekitar Ogos dan Oktober tahun lepas.

Menurut kenyataan itu, tindakan diambil mencerminkan usaha tegas dan berterusan oleh SKMM dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes-kes penipuan dalam talian yang semakin meningkat. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share