Jangan tergesa-gesa buat keputusan perjalanan perniagaan, kata MMA

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan tidak terburu-buru membuat keputusan melonggarkan sekatan perjalanan bagi pelancong perniagaan dari negara dengan kadar kes Covid-19 yang rendah.

-Advertisement-

Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy berkata, cadangan itu wajar diteliti.

Pelancong perniagaan masih perlu menjalani ujian RT-PCR sebelum berangkat ke Malaysia.

Katanya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan tempoh kuarantin lebih pendek untuk pelancong perniagaan.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan tempoh kuarantin wajib bagi pelancong yang tiba di Malaysia dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari.

-Advertisement-

“Keputusan membenarkan pelancong ke negara ini hanya perlu dibuat selepas Kementerian Kesihatan mengkaji semua data yang ada mengenai kes Covid-19 di negara tersebut.”

Beliau berkata, lebih baik menunggu sehingga negara betul-betul berjaya melandaikan lekuk sebelum membuka semula sempadan kepada pelancong antarabangsa.

Bekas perdana menteri, Najib Razak pada Sabtu lalu menggesa kerajaan membenarkan kemasukan pelancong perniagaan dari negara berisiko rendah Covid-19, seperti Singapura, China, Taiwan, Brunei, Australia, New Zealand, Vietnam dan Thailand.

Beliau berkata, menggalakkan perjalanan ahli perniagaan asing penting untuk mendorong pelaburan asing yang akan memberi impak kepada pembangunan ekonomi dan jumlah pekerjaan baru di Malaysia pada masa depan.

Memberi contoh negara jiran Singapura, katanya, kerajaan mereka memberi pengecualian kuarantin untuk pelawat dari negara seperti Taiwan, Brunei, Australia, New Zealand, China dan Vietnam untuk menggalakkan perjalanan perniagaan. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share