Kerajaan digesa elak komen agama, mulakan program henti minum alkohol

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang bekas timbalan menteri kesihatan dan sebuah kumpulan pengguna berkata, kerajaan perlu mula menyediakan program pemberhentian untuk peminum alkohol atau mereka yang minum secara tidak bertanggungjawab.

-Advertisement-

Dr Lee Boon Chye berkata, kebanyakan rawatan yang ada disediakan organisasi swasta seperti pakar psikiatri dan NGO.

“Adalah baik untuk Kementerian Kesihatan mengadakan program khas bagi penagih alkohol mendapatkan bantuan dan rawatan,” katanya kepada FMT.

Lee berkata, walaupun kerajaan memantau keseriusan masalah itu dengan mengehad penjualan produk minuman keras, antara lain, sebahagian besar usaha itu “berbaur agama”.

“Memandu di bawah pengaruh alkohol sama sekali isu berasingan yang perlu ditangani melalui pendidikan dan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk,” katanya.

Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) berkata, masyarakat perlu mengiktiraf pengambilan alkohol secara tidak bertanggungjawab adalah masalah sosial dan “rakyat perlu mengelakkan ia menjadi isu perkauman dan agama”.

Pada 16 Nov lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengumumkan garis panduan lesen minuman keras 2021, di mana kedai ubat Cina, runcit dan serbaneka di Kuala Lumpur tidak dibenarkan menjual minuman keras mulai 1 Okt 2021.

-Advertisement-

Naib Presiden MCM dan ketua aktivis, Beninder Johl memuji langkah itu, tetapi berkata usaha itu mesti disusuli pendidikan untuk terus menekankan akibat minum alkohol.

Katanya, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2011 menunjukkan Malaysia ialah pengguna alkohol ke-10 tertinggi di dunia.

“Ini mengejutkan berdasarkan jumlah penduduk kita dan gesaan untuk program pendidikan dan pemberhentian menyeluruh perlu dilaksanakan segera bagi mengekang masalah sosial lebih besar ini.”

Katanya, duti eksais alkohol di Malaysia kedua tertinggi di dunia dan dana dikumpulkan itu perlu digunakan untuk mendidik orang ramai dan menubuhkan pusat sokongan buat mereka yang mahu berhenti minum alkohol.

“Ketika ini, kita tidak nampak banyak yang dilakukan dalam aspek pendidikan. Untuk itu, kami menyarankan dana itu disalurkan kepada organisasi agama di mana program boleh dijalankan dalam kalangan ahli.”

Namun, Lee mengingatkan kerajaan untuk menggunakan cukai produk minuman keras bagi membantu rakyat berhenti minum alkohol.

“Dana yang diperuntukkan untuk tujuan khusus bergantung kepada dasar belanjawan sedia ada. Terdapat kebaikan dan keburukan dalam pembiayaan itu.” -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share