8 universiti capai 6 bintang penarafan KPT

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Lapan institusi pengajian tinggi (IPT) berjaya mencapai enam bintang dalam Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) 2018/2019.

-Advertisement-

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata lapan IPT itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU) dan Monash University Malaysia.

Beliau berkata, sebanyak 30 IPT lagi mendapat penarafan lima bintang; empat bintang (30); tiga bintang (15); dua bintang (2) dan satu bintang (1).

Katanya, sesi 2018/2019 menyaksikan penyertaan sebanyak 86 IPT untuk penarafan SETARA, manakala sebanyak 207 kolej swasta pula menyertai penarafan Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) bagi sesi sama.

“Sebanyak 14 kolej swasta berjaya mencapai penarafan enam bintang bagi penarafan MyQUEST 2018/2019.

“Ia terdiri daripada Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Sunway (Kuala Lumpur), Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT), Kolej SEGi Kota Damansara, Kolej Poly-Tech MARA Kuantan, Kolej SEGi Pulau Pinang, Kolej Antarabangsa Putra, Kolej Equator, Kolej Despark, Kolej SEGi Sarawak, Kolej IBS, Kolej Integrasi Perkembangan Kemahiran (IPK), Kolej Hafiz dan Institut Antarabangsa Sains Mantin.

“Ini diikuti 54 kolej mendapat penarafan lima bintang; empat bintang (88); tiga bintang (40) dan dua bintang (11),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

-Advertisement-

Noraini berkata, penarafan IPT Malaysia bagi sesi 2018/2019 menunjukkan institusi itu sudah melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam menyediakan pendidikan tinggi berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar.

Beliau berkata, perkembangan itu juga memperlihatkan sektor pendidikan tinggi negara berada pada landasan betul dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dengan memberi penekanan terhadap kualiti akademik, kebertanggungjawaban dan prestasi setiap IPT di negara ini.

Beliau berkata, keputusan penuh Penarafan IPT Malaysia 2018/2019 boleh dilayari melalui portal http://jpt.mohe.gov.my/portal/.

Noraini berkata, kementeriannya akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan dan pemantapan penarafan SETARA dan MyQUEST selaras dengan perubahan persekitaran dan ekosistem pendidikan tinggi negara.

Katanya, penyesuaian itu akan mengambil kira pembudayaan norma baharu dalam sistem penyampaian pendidikan, penekanan kepada agenda pendigitalan, Teknologi Pendidikan berasaskan Revolusi Industri 4.0 dan kriteria lain yang relevan.

“Penarafan seterusnya dirancang untuk dilaksanakan pada 2022,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share