Majikan digesa sediakan penginapan selesa kepada pekerja – M. Saravanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KAJANG, 21 Dis — Majikan digesa agar mematuhi syarat Akta 446 dengan menyediakan penginapan yang selesa kepada pekerja tidak kira warga asing atau tempatan untuk menjaga kebajikan pekerja mereka.

-Advertisement-

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang gagal mematuhi spesifikasi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Saya memberi amaran kepada semua majikan supaya membela nasib pekerja dengan menyediakan tempat penginapan yang selesa dan mengikut kapasiti yang ditetapkan. Jika permohonan penginapan adalah untuk 100 pekerja, maka hanya 100 orang yang dibenarkan tinggal di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan Kementerian Kesihatan (KKM) di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Batu 13, Jalan Cheras, di sini hari ini.

-Advertisement-

Saravanan berkata mana-mana majikan yang tidak memiliki perakuan penginapan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24D(1) Akta 446 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.

Menurutnya majikan yang disabitkan kesalahan juga boleh disenaraihitamkan daripada mengambil pekerja asing.

Sementara itu, Saravanan berkata permohonan penginapan pekerja oleh majikan tidak akan diluluskan selagi pemeriksaan terhadap kawasan penginapan tersebut tidak menepati syarat yang ditetapkan.

Mengenai operasi di kilang yang mempunyai 759 pekerja dengan 737 daripadanya warga asing dan 22 warga tempatan itu, Saravanan berkata penginapan pekerja berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan kesemua pekerja asing di kilang itu belum membuat ujian saringan COVID-19.– BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •