Warga emas pindah bersama 5 anak OKU, 23 kucing

Estimate Reading Time: 2 minutes

DUNGUN: Selepas rumahnya di Kampung Keliu dinaiki air setinggi paras pinggang pagi semalam, warga emas Azizah Bakar terpaksa berpindah dengan membawa bersama lima anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) bisu dan 23 ekor kucing peliharaan.

-Advertisement-

Apatah lagi dua daripada lima anak itu iaitu Mohd Zulkifli Kamaludin, 39, dan Hazura, 36, tidak boleh berjalan dan terpaksa diangkat serta didukung oleh beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk naik ke dalam lori agensi penyelamat itu.

“Naib baik tiga lagi anak mak cik yang ikut berpindah iaitu Hatikah (34 tahun), Mohd Shahrul (29) dan Mohd Azeem Asyraf (26) hanya tidak boleh bercakap tetapi mampu berjalan dan menguruskan diri sendiri, jadi ia memudahkan mak cik menguruskan dua lagi adik-beradik mereka.

“Mak cik tidak mahu tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung Serdang tetapi memilih untuk tinggal di rumah anak ketiga, Nurul Huda (48 tahun) yang terletak hanya kira-kira 50m dari PPS tersebut kerana ingin memastikan keselesaan anak-anak yang OKU untuk ke tandas dan sebagainya,” kata warga emas berumur 69 tahun itu ketika ditemui Bernama di sini.

Bagaimanapun, seorang lagi anaknya yang juga OKU bisu Mohd Fairus, 42, memilih untuk tinggal di rumah bersama bapanya Kamaludin Embong, 69, kerana air tidak melimpah ke dalam rumah tetapi di halaman sahaja.

Azizah berkata kesemua enam daripada 12 anaknya itu tidak boleh bercakap sejak kecil lagi, manakala Mohd Zulkifli dan Hazura pula tidak boleh berjalan sejak mereka berusia 20-an.

-Advertisement-

“Mak cik pun tidak tahu kenapa enam beradik itu jadi begitu. Tetapi sudah itu takdir Allah kepada mereka mak cik reda. Mesti ada hikmah di sebaliknya.

“Sekarang, mak cik agak senang kerana mereka sudah besar dan kebanyakannya boleh menguruskan diri sendiri. Tidak seperti sewaktu mereka masih kecil kerana jarak semua 12 anak dekat-dekat jadi makcik menguruskan anak yang OKU sambil mak cik sendiri berbadan dua. Kalau teringatkan waktu dahulu memang penat,” katanya sambil mengukir senyuman.

Selain membawa anak-anak OKUnya itu, Azizah dan suami juga terpaksa mengangkut 23 ekor kucing milik Hatikah ke rumah Nurul Huda yang terletak kira-kira 3km dari rumahnya dengan menaiki sebuah lori bagi mengelakkan haiwan itu ditenggelami banjir.

“Sebagai persiapan awal, Hatikah meletakkan kucing-kucingnya di dalam sangkar dan haiwan itu diangkut sejak Sabtu lepas kerana kami sudah menjangkakan banjir akan berlaku. Hatikah memang sangat sayangkan kucing-kucingnya sebab itu kami terpaksa juga bawa ke sini,” katanya sambil memberitahu anak kelapannya itu turut memelihara beberapa ekor ayam.

Dalam pada itu, Azizah menyifatkan banjir pada tahun ini lebih buruk kerana air naik ke halaman rumahnya sehingga ke paras pinggang berbanding hanya pada paras betis tahun lepas.

“Banjir kali ini juga naik dengan begitu mendadak sekali. Hujan mulai turun kira-kira pukul tiga pagi semalam (Ahad) dan hanya kira-kira empat jam selepas itu seluruh halaman rumah saya ditenggelami air,” katanya.-FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •