Banyak bantahan terhadap vaksin COVID-19 kerana ‘orang tengah’ dikecualikan, kata kumpulan kesihatan

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial memuji kerajaan melakukan rundingan secara langsung dengan syarikat farmaseutikal bagi mendapatkan vaksin COVID-19, di sebalik pelbagai kritikan terhadap strategi perolehan itu.

-Advertisement-

Kerajaan memeterai perjanjian dengan Covax, Pfizer, dan AstraZeneca untuk membeli vaksin yang memenuhi keperluan imunisasi bagi 40% penduduk.

Mengatakan ada banyak tuduhan yang dilemparkan berdasarkan informasi yang salah dan teori konspirasi, CEO Azrul Khalib berkata kebanyakan bantahan terhadap vaksin itu disebabkan “orang tengah” atau ejen tender dikecualikan daripada urusan vaksin itu.

“Pemeriksaan rapat perlu dibuat apabila melibatkan dana orang awam. Namun, golongan yang mengambil kesempatan termasuk anti-vaksin mengkritik isu vaksin dan mempolitikkannya, terutama selepas pendedahan harga vaksin oleh Setiausaha Belanjawan Belgium, Eva De Bleeker,” katanya dalam kenyataan.

De Bleeker sebelum ini menerbitkan satu jadual harga yang akan dibayar Belgium kepada syarikat farmaseutikal untuk vaksin COVID-19 mereka.

Dalam catatan Twitter beliau, vaksin Pfizer dinyatakan berharga EUR12 (RM60) setiap dos, menyebabkan banyak yang percaya itu adalah harga penuh seperti dipersetujui Kesatuan Eropah (EU).

Vaksin lain dalam jadual itu juga menunjukkan harga lebih rendah daripada yang sebelum ini didedahkan sumber EU.

-Advertisement-

Azrul menjelaskan jumlah dan status ekonomi negara mempengaruhi harga vaksin, dan menambah, harga EU itu tidak termasuk kos logistik.

Beliau menganggarkan vaksin Covax berharga RM86 seorang, sementara untuk AstraZeneca boleh mencecah RM28 seorang.

Walaupun terdapat kelewatan dalam mendapatkan vaksin itu, jika dibandingkan dengan negara jiran, beliau menyifatkan usaha kerajaan itu sebagai “lebih baik lambat daripada tidak”.

“Kita mulakan 2021 dengan tiga vaksin yang dijangka dilancarkan sepanjang tahun itu untuk memberi manfaat dan melindungi sekurang-kurangnya 40% jumlah penduduk.

“Sambil kita terus teliti respons kerajaan terhadap COVID-19, Pusat Galen mendukung usaha berterusan untuk menyediakan vaksin yang selamat dan berkesan untuk penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengesahkan vaksin Pfizer akan berharga kurang dari RM100 setiap dos.

Awal hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh negara selamat dan berkesan.

Katanya, kerajaan diperingkat akhir proses rundingan dengan SinoVac, CanSino dan Gamaleya untuk memperoleh lebih banyak vaksin bagi menampung jumlah 80% populasi, atau 26.5 juta orang.-FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •