Pemandu lori tikam kekasih, cuba bunuh diri didakwa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menikam kekasihnya hingga cedera parah dan cuba membunuh diri dengan meminum racun, minggu lepas.

-Advertisement-

Chong Lai Ann, 46, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu dituduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas kekasihnya, Hin Sak Wah, 58, dengan menggunakan sebilah pisau mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Difahamkan Hin kini masih berada dalam keadaan koma di Hospital Serdang, Selangor.

-Advertisement-

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh diri dengan cara meminum racun mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di sebuah rumah di Jalan Kinrara 6B, di sini, pada 4.24 petang, 12 Dis lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan pertuduhan pertama tertuduh adalah kes yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan 18 Jan depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

— BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •