MAHB berusaha kemuka kaedah terbaik tangani isu penyewa KKIA

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang berusaha sebaik mungkin untuk menawarkan kaedah penyelesaian terbaik serta mengambil maklum mengenai masalah kewangan yang dihadapi oleh kalangan penyewa Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

-Advertisement-

Dalam satu kenyataan hari ini, MAHB berkata ia melaksanakan Model Sewaan Bagi 2021 baharu yang mana kadar sewa itu mengikut jumlah sebenar penumpang berikutan kesukaran dihadapi penyewa akibat kemerosotan aliran penumpang.

Di bawah kaedah itu, peruncit atau penyewa hanya perlu membayar sewa mengikut kadar aliran penumpang — sebagai contoh, kadar sewa akan ditetapkan pada 10 peratus sekiranya trafik penumpang berada pada jumlah sama daripada kadar biasa.

“Mekanisme ini akan memberi lebih banyak ruang untuk peruncit bangkit semula seiring dengan pemulihan angka aliran penumpang terbabit.

“Kami juga gembira kerana seramai 274 daripada sejumlah 337 penyewa itu menerima pakej bantuan ini dan dapat melihat manfaat daripada kerjasama sebegini untuk tempoh yang panjang. Mereka telah membuktikan komitmen itu dengan menandatangani persetujuan bagi pakej tersebut berserta terma dan syarat berkaitan,” katanya.

Kenyataan MAHB itu sebagai mengulas rencana disiarkan sebuah akhbar bahasa Inggeris bertarikh 21 Dis lepas yang bertajuk ‘Traders at KK Airport Struggle to Pay Rent, Staff Salaries.’

Rencana itu antara lainnya memaparkan rasa tidak puas hati penyewa mengenai keperluan menandatangani perjanjian sewaan selama setahun berbanding pembaharuan perjanjian setiap tiga bulan yang diamalkan sebelum ini.

-Advertisement-

Mengulas perkara itu, MAHB menjelaskan pembaharuan perjanjian runcit tertentu bagi setiap tiga bulan adalah bersifat sementara sebelum pemuktamadan pelan Penetapan Semula Komersial itu.

Menurutnya, pada masa itu, kontrak jangka panjang tidak dapat dimeterai dengan penyewa runcit lapangan terbang kerana tertakluk kepada penukaran kaedah runcit baharu daripada pelan tersebut.

Bagi membantu memudahkan aliran tunai peruncit, MAHB telah menawarkan moratorium sewa selama enam bulan dan Pakej Bantuan Sewa yang menawarkan rebat sewa sehingga 100 peratus selama enam bulan pada 2020.

“Ini bermakna pihak pengurusan lapangan terbang telah mengecualikan sewaan selama enam bulan daripada 10 bulan yang sepatutnya dibayar oleh peruncit. Malah, ini juga bermakna bahawa pihak lapangan terbang terpaksa melepaskan 60 peratus hasil sewaannya daripada peruncit.

“Walaupun kami sedia maklum bahawa pakej bantuan itu tidak dapat menyelesaikan semua masalah kewangan peruncit, kami sedang berusaha yang terbaik untuk menawarkan penyelesaian saksama sewajarnya mengikut kemampuan kami.

“Kami turut menggunakan dana sendiri walaupun mengalami kerugian bagi tempoh tiga suku (tahunan) yang lepas,” katanya.

— BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •